Malaysia Dateline

Ilham Centre ramal Warisan menang agak selesa

Firma penyelidikan bebas, Ilham Centre meramalkan Parti Warisan Sabah (Warisan) menang selesa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari ini, sekali gus meranapkan status kubu kuat yang dipegang BN di Parlimen itu.

Ketua penyelidiknya Dr Muhd Yusri Ibrahim berkata, calon Warisan, Datuk Karim Bujang yang berkhidmat selama lima penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan mempunyai kelebihan dengan 57 peratus berbanding calon BN, Datuk Mohamad Alamin.

Menurutnya, hasil dapatan tersebut mengikut kajian membabitkan 491 responden terdiri daripada pengundi berdaftar di P.176 itu.

“Kami jangkakan Warisan akan memenangi dengan keadaan yang agak selesa berbanding sebelum ini BN memenangi dengan 150 undi (pada Pilihan Raya Umum ke-14) lalu,” ujarnya dalam kenyataan di laman web Ilham Centre hari ini.

Beliau menjelaskan, faktor kemenangan Warisan dipengaruhi tiga pemboleh ubah utama iaitu Warisan sebagai parti pemerintah, faktor pengikut sedia ada, dan sentimen pengundi yang lebih menyokong parti tempatan.

“Yang pertama faktor Warisan itu adalah parti pemerintah yang kecenderungan pengundi untuk memberi undi kepada parti pemerintah adalah lebih tinggi berbanding parti BN sebagai pembangkang.

“Yang kedua adalah faktor pengikut-pengikut sedia ada daripada ADUN Membakut sendiri Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif yang keluar daripada BN masuk ke Bersatu.

“Jadi, mereka ada 6,500 pengundi yang asalnya menyokong Datuk Ariffin. Jadi, sebahagian besar itu mampu memberi undi kepada Warisan.

“Kemudian begitu juga pengundi Parti Harapan Sabah yang mempunyai 1,300 yang sebahagian besar juga akan memberi undi kepada Warisan.

“Kemudian sentimen pengundi di Kimanis ini lebih cenderung kepada lokal parti. Jadi, Warisan adalah parti tempatan di Sabah berbanding BN.

“Maka, kecenderungan pengundi kepada parti tempatan lebih tinggi berbanding parti yang dianggap sebagai parti Semenanjung,” ujar Dr Muhd Yusri lagi.