Malaysia Dateline

Illi Najwa akan dipanggil berhubung status agama

Wanita yang berkahwin dengan Kapten Hoki India, Manpreet Singh Pawar akan dipanggil sebaik kembali ke Malaysia, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.

Menurutnya, kerajaan masih menunggu maklumat rasmi daripada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) berhubung status agama Illi Najwa Saddique.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat awal yang diterima, ujarnya, wanita itu masih seorang Muslim dan setakat ini tiada permohonan diterima untuk menukar agama.

Pada masa sama, jelasnya, kerajaan tidak menerima permohonan daripada Illi Najwa, 27, untuk berkahwin di luar negara.

“Menerusi pembacaan saya di media sosial, wanita berkenaan masih Islam dan lelaki itu dikatakan sudah memeluk Islam akhir tahun lalu.

“Bagaimanapun, perkara ini akan terungkai sebaik kita mendapat penjelasan daripada wanita itu sendiri,” lapor BH.

Ahmad Marzuk berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengagihan Bantuan Musim Tengkujuh kepada Nelayan dan Petani di Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, Kota Bharu hari ini.

Pada 16 Disember lalu, Manpreet, 28, melangsungkan majlis perkahwinan dengan Illi Najwa selepas menjalinkan hubungan cinta sejak lapan tahun lalu.

Majlis resepsi dikatakan berlangsung di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.

Manpreet mengenakan sut perkahwinan punjabi lengkap berserban manakala Illi Najwa berpakaian pengantin punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, majlis resepsi tersebut bercanggah dengan ajaran Islam kerana terdapat unsur agama lain.

Bagaimanapun, ujarnya, setakat ini wanita berkenaan diandaikan masih Islam.

“Kita memahami kegusaran masyarakat berhubung perkara berkenaan kerana ia agak sensitif,” tambah Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu lagi.

Terdahulu, Manpreet dan Illi Najwa dijadualkan berkahwin pada April lalu, dengan resepsi majlis di Ludhiana tetapi ditangguhkan ekoran penularan Covid-19.

Illi Najwa disahkan sumber dalaman Persekutuan Hoki Antarabangsa melakukan perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Disember untuk bersama kekasihnya.

Dia dikatakan mendapatkan permohonan khas daripada kerajaan Malaysia dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri India untuk terbang ke New Delhi sebelum meneruskan perjalanan ke kampung halaman Manpreet.

Illi Najwa bekerja di sebuah universiti swasta di negara ini dengan bertugas mengawal perancangan, pengembangan perniagaan dan aktiviti pengambilan pelajar di pasaran Asia Selatan.

Ibunya, Masita pernah bermain hoki mewakili Angkatan Tentera Malaysia.

Harian Metro melaporkan Manpreet kali pertama bertemu Illi Najwa yang menyaksikan perlawanan ketika mengetuai pasukan remaja India pada saingan Piala Sultan Johor 2012.

Mereka juga dikatakan kerap berhubung apabila Manpreet kembali mengetuai pasukan kebangsaan India pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh.

Manpreet yang pernah diiktiraf sebagai Pemain Remaja Terbaik Asia pada 2014 dilantik sebagai kapten India sejak Mei 2017.