Ilmu perbandingan agama Zakir Naik adalah anugerah Allah, dakwah harus diteruskan

Ilmu perbandingan agama Zakir Naik adalah anugerah Allah,  dakwah harus diteruskan
Nik Omar Nik Aziz (kanan) ketika ditemubual wartawan Malaysia Dateline Akmal Manaf.

Penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik boleh terus menggunakan cara berdakwah yang dipraktikkannya, sekali gus menyebarkan ilmu kepada masyarakat di negara ini mengikut kekuatan pada dirinya.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim Nik Omar Nik Abdul Aziz berpendapat, pendakwah tersebut mempunyai keunikan tersendiri yang dianugerahkan oleh Allah.

“Allah telah menganugerahkan beliau ilmu, khususnya berkaitan perbandingan agama. Itu (anugerah) satu mutiara dan sebenarnya ia bukan hanya untuk orang Islam, tetapi kepada keseluruhan alam.

“Beliau (Zakir) adalah tetamu di negara kita dan kita yakin apabila kerajaan mengambil pendekatan menjaga tetamu tersebut, ia akan mendapat keberkatan daripada Allah,kita meraikan kehadirannya.

“Apabila kita menolong seseorang, kita juga perlu yakin bahawa pertolongan sedemikian akan mendapat ganjaran dengan limpahan dan juga kurniaan rezeki daripada Allah.

“Pucuk pimpinan tertinggi negara mengatakan bahawa Zakir Naik ini adalah tetamu negara dan kita perlu menghormati beliau (sebagai tetamu). Ruang juga perlu diberikan untuk beliau menyebarkan ilmu yang ada pada dirinya,” katanya.

Nik Omar mengulas demikian ketika ditanya mengenai konsep dakwah yang difikirkan sesuai oleh Yadim, pendakwah itu mahu menyebarkan ilmunya di negara ini.

Beliau memberikan jawapan tersebut secara eksklusif kepada Malaysia Dateline di Seminar Islam Rahmatan Lil’ Alamin & Townhall Maqasid Syriah, di Dewan Nik Mohyidden Musa, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, Bangi, semalam.

Selain itu, Malaysia Dateline turut mengajukan soalan berkaitan pandangannya terhadap ilmu perbandingan agama yang dimiliki penceramah dari India itu.

Dalam masa sama, Nik Omar berkata, pendakwah tersebut perlu menghormati peraturan dan situasi yang ada dalam sesebuah negara termasuk Malaysia, di mana sentimen perkauman dan agama dipolitikkan.

“Apabila dia adalah tetamu negara (pelarian politik atau pun mendapat perlindungan), dia perlu hormat peraturan negara tersebut.

“Mengenai ruang untuk Zakir menyebarkan ilmunya, itu kita kena fikir lah bagaimana cara untuk mengambil manfaat daripada kekuatan yang ada pada beliau,” ujar Nik Omar yang juga anak kepada Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Semalam, Pengasas dan Pengerusi Pusat Pengajian dan Pendidikan Islam Ar-Rifaie Selangor, Ustaz Ahmad Hafiz Mohd Alwi Al-Bakaniyy berpendapat, pendakwah antarabangsa itu perlu mempelajari fahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang berteraskan aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah sekiranya beliau mahu berdakwah di negara ini.

Ahmad Hafiz yang juga merupakan Panel Pakar Rujuk Deradikalisasi bagi Kes-Kes Khas Keganasan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menasihati pendakwah dari India itu, supaya mempelajari sifat 20 yang wajib bagi Allah, kitab Risalatul Tauhid dan juga kitab-kitab akidah yang lain sebelum berdakwah.

Menjawab pandangan sedemikian Nik Omar berpendapat perlu ada ‘pemikiran rahmah’ dalam masyarakat. Iaitu apa yang perlu difahami pemikiran rahmah, ujarnya lagi, merentasi segala bentuk pemikiran.

“Pemikiran rahmah ini ia adalah ‘kehidupan’. Di mana kita menghormati peraturan yang ditetapkan oleh mana-mana organisasi dan negara tetapi perlu ada ruang bertukar pandangan.

“Ini kita sebut sebagai debat atau berdialog, sama ada sesama kita orang Islam atau dengan bukan Islam dengan kepelbagaian pemikiran dan pendekatan.

“Ertinya kita kena buka ruang, kita tidak boleh cepat meletakkan syarat-syarat dan peraturan sehingga merugikan ummah keseluruhan. Itu pandangan peribadi saya,” ujarnya.

Baca: Fahaman Zakir Naik