Ilmuan Islam Syria puji sistem pendidikan SM Imtiaz Besut

Ilmuan Islam Syria puji sistem pendidikan SM Imtiaz Besut

Seorang Ilmuan dan pendakwah dari Syria, Fadhilatussyeikh Muwaffaq Al Marabie memuji sistem pendidikan yang diperkenalkan Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut yang mempunyai keunikan dalam subjek hafazan dan ilmu sains.

Dalam satu Program Bicara Motivasi Perdana yang diadakan di sekolah berkenaan hari ini, beliau menyatakan sistem pendidikan yang diamalkan sekolah tersebut iaitu Pogram Al-Syahadah Ulya Ulul Albab merupakan satu-satunya sistem pendidikan Islam yang diamalkan di dunia setakat ini.

Beliau berkata beliau kagum dengan sistem sekolah berkenaan dalam usaha melahirkan ulamak rabbani masa depan yang berpengetahuan tinggi dalam ilmu duniawi dan ukhrawi dengan mementingkan pengajaran sains dan al-quran.

“Saya berharap SM Imtiaz Besut dapat mencapai tujuan penubuhannya dan sekiranya boleh kami berharap agar sekolah ini turut dapat menerima kehadiran anak-anak yatim dari bumi Syria untuk belajar di sini,” katanya ketika menyampaikan syarahan yang dihadiri lebih 1,000 pelajar, tenaga pengajar dan para jemputan.

Ilmuan Islam itu juga pada penghujung syarahannya selama sejam turut meminta supaya umat Islam di negara ini berdoa kepada Allah agar diberikan keamanan kepada negara Islam di seluruh dunia daripada dilanda musibah dan perpecahan.

TAGS