Malaysia Dateline

Iltizam Mujahid, fokus pembangunan parti

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berazam akan terus memberi penekanan terhadap pembinaan parti selepas beliau sekali lagi berjaya menempatkan diri dalam kepimpinan tertinggi pergerakan itu.

Mengakui sememangnya sukar untuknya bagi ‘memandu’ parti, beliau berkata, tugasnya bersama lima lagi kepimpinan utama setelah dilantik sebagai menteri, menambah kesukaran untuknya menumpukan kepada pembangunan sayap parti komponen PH itu

“Amat penting bagi saya untuk berada dalam kedudukan sekarang. Dalam tiga tahun untuk bina parti bukan senang.

“Bila jadi kerajaan, kami sebahagian lima pimpinan teratas pula telah diberi mandat menjadi menteri yang menyebabkan kami tak dapat beri tumpuan banyak pada parti

“Justeru, saya bersama dengan Amanah, saya berazam untuk tumpu pembinaan parti termasuk sumber manusia, kompetensi ahli, kesedaran ahli kepada keperluan malaysia baharu, dan keperibadian muslim yang kasih pada negara.

“Pada waktu sama mereka akan menyumbang kepada kemakmuran bersama yang kita tetap kan,” katanya kepada pemberita semasa Konvensyen Nasional 2019 Parti Amanah Negara (AMANAH), di Pusat Konvensyen (IDCC), hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu turut menyedari aduan beberapa perwakilan yang menegur komitmen menteri-menteri Amanah.

Menghargai undi yang terjemahkan dalam bentuk sokongan kepadanya hari ini, Mujahid menyifatkan mandat itu sekaligus menjadikan kepimpinan tertinggi sudah mula memahami rentak menyeimbangkan tugas dalam kementerian dan untuk politik.

“Kalau dengar aduan dari perwakilan sendiri amat jelas sekali. Bukan kerana kita sengaja mengabaikan, tapi baru setahun tapi expectation itu tinggi.

“Ahli pula belum faham betul-betul konsep Rahmatan yang nak di bawa. Itu sebabnya saya nak fokus pada pembinaan parti dan ahli.

“Maka dengan diberikan lagi mandat dalam parti kali ini, saya rasa kita dah lebih selesa memahami rentak itu,” katanya.