‘Imam dari Pakatan Harapan lain’

‘Imam dari Pakatan Harapan lain’

Hanipa Maidin

Pengundi di Tanjung Piai diseru untuk memilih calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini pada 16 November ini memandangkan beliau merupakan seorang imam.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Hanipa Maidin secara berseloroh berkata, imam dari PH berbeza daripada imam dari Pas.

“Sebab itu kita minta beri peluang kepada Pakatan Harapan. Calon kita ini seorang imam yang baik.

“Ini bukan imam Pas. Imam dari Pakatan Harapan lain,” ujarnya ketika berceramah di pusat daerah mengundi (PDM) Lubok Sawah kelmarin.

Lubok Sawah antara PDM bermajoriti pengundi Melayu daripada 27 PDM dalam kawasan P.165 Tanjung Piai yang dimenangi BN pada PRU-14.

Hanipa turut menempelak sikap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang termasuk memberitahu benar-benar mengenali Ahli Parlimen Marang itu.

“Saya tahulah dengan Datuk Mahfuz (Naib Presiden AMANAH) pun tahu sangat pasal Pas. Jangan temberanglah kami seperti mana Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Timbalan Presiden Bersatu) tahu tentang Umno.

“Begitulah kami tahu pasal Pas. Ustaz Hadi jangan bohonglah. Kami tahu sangat pasal Pas ini. Saya peguam dia. Saya tahu (tentang) dia,” ujarnya disambut ketawa khalayak pendengar.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menyifatkan ‘fatwa’ Abdul Hadi boleh berubah setiap minit.

“Dulu dia (Abdul Hadi) yang bantai MCA, sekarang lain.

“Fatwa dia boleh berubah bukan ikut jam tapi sudah ikut minit,” sinisnya.

Sehubungan itu, Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun) tersebut berkata, mengundi Karmaine beerti meneruskan kepimpinan yang berdisiplin dan bekerja kuat seperti penyandang Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik.

“Sebab itu, beri peluang kepada calon yang berwibawa, seorang imam. Ada kelulusan senibina.

“Dulu pun arwah Dr Farid seorang pemimpin yang baik. Saya kenal dia sebab setiap minggu kami Timbalan Menteri bermesyuarat bersama.

“Arwah seorang yang berdisiplin dan bekerja kuat. Sekarang kita mahu meneruskan tradisi ini untuk Karmaine meneruskan legasi arwah Dr Farid bersama PH,” tambahnya lagi.

Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada Jun lalu pernah mengumumkan suntikan RM3 juta daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk projek menaik taraf dan menambah baik kemudahan infrastruktur jeti nelayan di Tanjung Piai.