Malaysia Dateline

IMAMS dibatalkan pelaksanaannya, kata Mas Ermieyati

Selepas sehari pelaksanaan  Sistem Pengurusan Pemantauan Bersepadu atau Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS)  ia akan dibatalkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (Motac).

Makluman rasmi mengenai pembatalan IMAMS yang dikatakan mengenakan caj tambahan yang membebankan syarikat pengurusan haji dan jemaah haji negara akan diumumkan kerajaan pada waktu terdekat.

Timbalan Menterinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin menerusi laman facebooknya petang ini telah memuat naik status yang memaklumkan IMAMS akan dibatalkan pelaksanaannya.

“Pelaksanaan sistem IMAMS untuk umrah dibatalan Motac akan keluarkan kenyataan rasmi nanti.” ujarnya.

Sebelum ini ramai pihak antaranya pimpinan politik parti pembangkang dan  syarikat yang terbabit dengan pengendalian pakej umrah dan jemaah haji  turit tidak bersetuju dengan pelaksanaan IMAMS kerana mengenakan bayaran tambahan sebanyak RM90.10 kepada setiap jemaah yang hendak mengerjakan umrah melalui syarikat pengendali umrah.

Sistem IMAMS memperuntukkan untuk setiap pendaftaran individu pakej umrah akan dikenakan bayaran bagi Sistem dan Pengurusan RM45.00; Insurans RM40.00 dan GST 6% RM5.10.

Menurut anggaran jumlah bayaran yang diperoleh syarikat itu jika mengambil kira 290,000 jemaah mengerjakan umrah dalam setahun adalah RM26.129 juta.

Daripada jumlah itu RM1.479 juta adalah GST; RM11.6juta (insurans) dan yang masuk kepada syarikat itu RM13.050 juta.

Sistem IMAMS dikendalikan sebuah syarikat Integrated Manasik Monitoring System Sdn Bhd.  Syarikat ini didakwa telah membuat cadangan kepada kementerian satu sistem yang boleh diguna pakai serentak dengan penguatkuasaan Lesen Khas Umrah (LKU) kepada 234 syarikat pelancongan di negara ini khusus bagi pengendali pakej umrah dan ziarah.

Kerajaan menerusi surat rasmi bertarikh 8 Disember lalu memaklumkan kepada semua LKU dan yang berstatus muasasah diwajibkan melaksanakan IMAMS semalam.