Malaysia Dateline

IMAMS Sdn Bhd akur arahan kerajaan batal perkhidmatan

Datuk Mas Ermieyati Samsudin (di tengah) pada sidang media mengenai pelaksanaan IMAMS bagi Pengurusan Kawal Selia Umrah di Putrajaya pada 15 Disember lalu.- Foto  BH.

Pengendali Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu (IMAMS) akur dengan arahan kerajaan untuk membatalkan perkhidmatan tersebut serta merta pada 15 Dis lepas.

Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS) Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata syarikat tersebut akan

terus memberi kerjasama kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta mana-mana pihak yang terbabit dalam memastikan transisi peralihan kesemua data dan sistem perjalanan umrah akan berlangsung dengan baik dan lancar, demi menjaga kepentingan jemaah umrah Malaysia.

Pembatalan IMAMS diumumkan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada Sabtu.

Pengumuman pembatalan pelaksanaan sistem itu dibuat berikutan pelbagai reaksi masyarakat kerana ia dilihat akan mengakibatkan penambahan kos bagi mengerjakan umrah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pembatalan pelaksanaan sistem itu sebagai tindakan tepat dan beliau tidak bersetuju sistem IMAMS dikenakan untuk urusan visa umrah.

Susulan pembatalan sistem IMAMS, Mas Ermieyati berkata kerajaan akan mencari kaedah baharu yang lebih berkesan bagi menangani penipuan pakej umrah.