Malaysia Dateline

Imbas kod bagi jemaah yang hendak Solat Jumaat di Kuching

Masyarakat Islam di Kuching yang hendak mengerjakan Solat Jumaat di Masjid Jamek Negeri Sarawak dan Masjid Bandaraya di Kuching diminta untuk membuat ‘imbas kod’ bermula hari ini.

Menurut kenyataan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak, berdasarkan garis panduan solat jumaat di masjid yang dikeluarkan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS), bilangan jemaah yang hadir adalah seramai 100 orang bagi Masjid Jamek Negeri Sarawak dan 50 di Masjid Bandaraya Kuching.

“Kepada jemaah yang berminat, sila imbas (scan) QR Code bagi mengisi google form untuk menyatakan hasrat menghadiri solat Jumaat pada 12 Jun ini (esok).

“Pemilihan jemaah akan dibuat secara Rawak ‘First Come First Served’ dan ia adalah muktamad,” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, setiap permohonan juga akan disaring bagi melihat tahap kesihatan jemaah dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Jemaah yang terpilih akan dimaklumkan melalui Whatsapp.

“Sebarang pendaftaran yang telah melebihi had bilangan jemaah yang dibenarkan tidak akan dapat didaftarkan.

Untuk makluman juga, para jemaah yang berjaya mendaftar dan terpilih untuk menghadiri Solat Jumaat ini dimohon untuk hadir ke masjid dalam tempoh satu jam atau selewatnya 15 minit sebelum waktu azan,” jelasnya.

Ini adalah bertujuan, tegas kenyataan itu bagi memudahkan urusan pemeriksaan suhu dan pendaftaran masuk para jemaah nanti.