Malaysia Dateline

Imbas semula PKP: Hilang kerja, terkurung agak lama dorong peningkatan kes bunuh diri – Pakar perubatan

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang, dengan beberapa kali sekatan itu dikuatkuasakan sehingga ada yang kehilangan pekerjaan, menyebabkan kes bunuh diri ketika tempoh itu naik mendadak.

Rakyat Malaysia tidak dapat bertahan lama apabila terkurung dalam satu tempoh yang panjang, lebih-lebih lagi apabila langkah itu mengganggu sumber kewangan mereka.

Itu sekurang-kurangnya pandangan diutarakan Perunding Pakar Bedah Jantung di Pantai Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr B Venugopal.

Dr Venugopal adalah salah seorang anggota Pertubuhan Khas Gabungan Kebangsaan untuk Kesejahteraan Mental (NCMW), yang ditubuh di bawah insiatif Rotary Malaysia

Datuk Dr B venugopal

NCMW, yang dimulakan oleh Rotary District 3300 Action Group on Mental Health Initiatives (RID 3300) didorong oleh keperluan mendesak untuk membantu rakyat Malaysia yang menderita pelbagai masalah berkaitan kesihatan mental, khususnya ketika pandemik Covid-19.

Tengku Puteri Iman Afzan, puteri sulung Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merupakan penaung gabungan ini.

Dr Venugopal berkata, banyak faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan mendadak kes bunuh diri ketika PKP antaranya termasuklah masalah kehilangan pekerjaan dan pendapatan pula berkurangan.

“Covid-19 adalah penyakit baru, terdapat begitu banyak data yang bercanggah dan mengelirukan. Sekatan pergerakan (lockdown) yang dikuatkuasakan ketika itu sangat menyesakkan.

“Orang ramai hilang pekerjaan, pendapatan jatuh. Mereka juga dipaksa bertahan dengan apa yang ada, kadangkala atas sebab yang salah. Akses kepada penjagaan kesihatan bagi pesakit bukan Covid-19 pula sangat terhad.

“Semua ini amat meresahkan bagi kebanyakan orang. Mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental adalah individu yang paling merasakan kesannya.

“Pada akhirnya, mengakhiri hidup seolah-olah satu pilihan yang mudah untuk mereka melepaskan diri dari masalah ini,” katanya memetik laporan Harapan Daily.

Sebanyak 1,660 kes bunuh diri direkodkan sepanjang tempoh PKP pada 18 Mac 2020 hingga 31 Disember 2021.

Kes bunuh diri di negara ini meningkat 81 peratus dengan 1,142 kes dilaporkan pada tahun 2021 berbanding 631 kes pada 2020.

Untuk setengah tahun pertama 2022 pula, 467 kes bunuh diri dicatatkan oleh pihak polis.

Mengulas lanjut, bekas Presiden Persatuan Pengamal Perubatan dan Undang-undang, Medico-Legal Society of Malaysia (MLSM) itu juga berkata, atas tekanan dan masalah yang wujud ketika tempoh PKP, mereka yang terkesan melihat mengambil nyawa sendiri adalah pilihan yang terakhir.

Beliau juga menganggap, masyarakat masih merasakan bahawa bergantung pada bantuan dan meminta pertolongan orang adalah taboo.

Justeru, ia mendorong individu untuk menamatkan riwayat hidup mereka sendiri.

“Saya merasakan semua isu ini menyumbang kepada peningkatan dramatik kes bunuh diri sepanjang Mac 2020 hingga Disember 2021,” katanya.

Pada masa sama, Dr Venugopal berkata, walaupun kerajaan memperuntukkan bantuan demi bantuan kepada rakyat, namun bantuan itu sangat minima.

“Bagi kebanyakan orang, bantuan itu tidak mencukupi.

“Tempoh PKP menjadi faktor (kes bunuh diri) kerana agak sukar untuk berada di dalam rumah sepanjang masa, kadangkala di ruang sempit,” katanya lagi.

Dr Venugopal juga merupakan Ketua Pasukan untuk memansuhkan Sek 309 Kanun Keseksaan NCMW.

Pasukan ini pernah mendesak agar Kerajaan Pusat untuk tidak lagi menjadikan cubaan bunuh diri sebagai satu jenayah, susulan kebimbangan meningkatnya kes bunuh diri di tengah wabak Covid-19.

Mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan, individu yang disabit kesalahan cuba membunuh diri boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Baca juga: ‘Sampai lekat ke dinding dia merajuk’, rakyat Malaysia terhibur tengok abang bomba sabar pujuk anjing merajuk