Malaysia Dateline

Imej ‘Abah’ merosot, Pas terus tersingkir

Hasil kajian kerjasama antara Sinar Harian dan Sin Chew Daily mengenai prestasi menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) mungkin boleh dianggap pengukur yang lebih adil dan seimbang untuk digunakan sebagai bahan kempen politik ketika ini.

Hal ini kerana kajian tersebut dibuat oleh media yang cenderung dianggap tidak menyebelahi mana-mana pihak atau sentiasa memberi ruang kepada semua parti politik untuk menyuarakan pandangan.

Maka, dijangkakan hasil kajian ini akan dijadikan bahan tular terutamanya daripada netizen yang menyokong Pakatan Harapan (PH) pada waktu sekarang hingga menjelang kempen Pilihan Raya Umum (PRU) jika diadakan dalam tahun ini.

Berdasarkan kajian yang diterbitkan pada 11 Mac lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mendapat undi tertinggi dalam kalangan lima menteri yang menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang. Daripada 24,370 pembaca yang menyertai tinjauan, seramai 11,125 memberi undi kepada ahli Parlimen Rembau.

Kajian anjuran dua media bahasa Melayu dan bahasa Mandarin itu dibuat sempena setahun PN membentuk kerajaan Persekutuan selepas mengakhiri 22 bulan pentadbiran PH di Putrajaya.

Daripada Sinar Harian, seramai 17,931 pembaca mengambil bahagian manakala seramai 6,439 pula di Sin Chew Daily.

Mengikut belakang Khairy adalah Menteri Hal Ehwal Agama, Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang berada pada kedudukan kedua dengan 7,722 undi, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob (7,261) dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Azzi (6,728 undi).

Seperti dijangka tetapi tetap mengejutkan adalah Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang berada pada kedudukan kelima dengan memperoleh hanya 6,367 undi sahaja.

Tentunya hasil kajian ini menjadi wake-up call kepada Muhyiddin dan pasukan medianya untuk segera memulihkan imej bos mereka yang terjejas teruk walaupun pada tahun lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu diterima ramai dengan gelaran ‘abah’.

Masih gagalĀ 

Khairy mungkin agak bernasib baik kerana kajian yang dibuat pada 26 Februari hingga 5 Mac tepat pada waktu Malaysia menerima vaksin Covid-19 sekali gus memberikan kesempatan kepada beliau muncul sebagai menteri koordinasi yang menyelaras program vaksin seluruh negara.

Kemunculan ini dianggap sebagai ‘juruselamat’ yang mana telah mendapat publisiti meluas daripada media-media dalam negara.

Selain itu, sikap beliau yang mesra media sosial dengan kekerapan berinteraksi secara santai bersama netizen di akaun Twitter memudahkan penerimaan orang ramai dengan kepimpinan beliau.

Namun demikian, pencapaian Khairy pula masih gagal untuk menyumbang atau membantu memulihkan imej Umno yang tersekat dengan perbalahan terbuka dengan Bersatu.

Satu hal lagi, populariti Khairy tidak menyeluruh dalam kalangan umum dan Umno. Walaupun Khairy dilihat popular dalam kalangan umum tetapi situasi berbeza pula dalam Umno kerana bekas Ketua Pemuda parti itu tidak dianggap sebagai aset penting atau tokoh pelapis kepimpinan.

Justeru, kajian ini juga tidak banyak membantu Khairy untuk mengukuhkan kedudukan dalam Umno. Tetapi itu tidak penting kerana Muhyiddin kini dalam diam sedang menghadapi persepsi negatif dalam kalangan rakyat jika hasil kajian ini dijadikan ukuran.

‘Panjang lidah dari akal’

Daripada lima menteri, tiada seorang pun daripada Pas walaupun parti ini mempunyai tiga ahli Parlimen yang dilantik sebagai menteri iaitu Ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar).

Selain itu, turut menjadi menteri adalah Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan (Menteri Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang) dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi).

Dalam kalangan tiga menteri dari Pas, Takiyuddin mungkin sahaja boleh menggunakan kapasiti dan portfolio yang diamanahkan untuk mengukuhkan imej Pas dengan membawa agenda parti itu seperti membentangkan RUU355 yang sering menjadi bahan kempen Pas untuk menarik sokongan dan undi daripada umat Islam di negara ini.

Tetapi kerana sikap ‘panjang lidah dari akal’ yang diamalkan oleh Pas, maka apa yang dapat disaksikan kini adalah para pemimpin parti itu sekarang sudah lemah, lembab dan bisu seribu bahasa selepas bersubahat menubuhkan kerajaan Persekutuan melalui tebuk atap dan pintu belakang.

Ditambah pula dengan isu-isu sensitif berkaitan Islam seperti pengisytiharan untuk murtad oleh seorang instafamous transgender, keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan hukuman jenayah luar tabii oleh Mahkamah Syariah Selangor dan terkini, Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada penganut Kristian, tiada reaksi keras disambut oleh Pas dan penyokongnya.

Siri isu sensitif ini tidak mendapat hebahan dan respon pantas serta agresif daripada pemimpin Pas seperti yang selalu dilakukan oleh Harakahdaily semasa menjadi pembangkang dahulu.

Menang moral

Selain menilai prestasi menteri, satu lagi dapatan yang menggembirakan khususnya dalam kalangan PH adalah parti yang menjadi pilihan dan sokongan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) berada kedudukan paling tinggi apabila memperoleh 14.41 peratus atau 4,824 undi. Umno pula kedudukan kedua (10.46 peratus). Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mana Muhyiddin adalah presiden dan Perdana Menteri kekal merosot apabila hanya mendapat 1,701 undi atau 5.08 peratus.

Paling menarik adalah persaingan AMANAH dan Pas kerana kedua-duanya memperoleh peratusan yang sama iaitu 7.58 tetapi dari segi undi, AMANAH mendapat 2,537 iaitu hanya tertinggal satu undi sahaja berbanding Pas sebanyak 2,538.

Dari segi ukuran bilangan ahli dan pengalaman berpolitik seperti yang selalu diangkuhkan oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, ternyata berdasarkan keputusan kajian ini, AMANAH sudah menang moral untuk kembali bangkit menjadi lebih kuat dalam lanskap politik negara.