Malaysia Dateline

Imej daun paku-pakis, simbol solidariti serangan di Christchurch

Sejak serangan mengejutkan membabitkan dua buah masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lalu, ramai netizen telah berkongsi imej daun paku-pakis sebagai tanda solidariti terhadap mangsa yang terkorban dalam serangan itu.

Menariknya tentang imej daun paku pakis tersebut, ia sebenarnya mempunyai maksud mendalam dan membawa seribu makna yang dilukis kartunis dari Australia, Pat Campbell (Pat).

Imej daun yang penuh makna tersirat itu, menunjukkan kedudukan dan posisi orang Islam yang sedang solat dan berdoa.

Menurut hantaran Pat di laman Twitternya, imej tersebut dilukis pada Sabtu pagi sehari selepas kejadian, dan pada ketika itu jumlah mangsa seramai 49 orang, namun sehelai daun lagi dilukisnya bagi mewakili seorang lagi mangsa yang disahkan meninggal dunia akibat cedera parah.

Sempena himpunan Solidariti Kedamaian anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional esok, kartunis dari Australia, Pat memaklumkan, dia berasa gembira melihat mereka yang bersimpati dan ianya seperti mendapat satu ketenangan.

“Ia memberikan maksud yang lain kepada orang yang berbeza. Ini merupakan soal kemanusiaan dan sememangnya membawa kita untuk bersatu..

“Terlalu banyak pecahan pada masa kini… saya juga ingin memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang terlibat dalam serangan berkenaan,” katanya.