Malaysia Dateline

Imigresen kena buktikan laporan Heidy Quah tidak benar

AMANAH mencadangkan agar Jabatan Imigresen Malaysia mengambil langkah proaktif untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa laporan Heidy Quah mengenai depo tahanan mereka tidak benar.

KHALID SAMAD

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad dalam satu kenyataan medianya berkata, ia boleh dilakukan dengan menubuhkan satu badan bebas untuk meninjau dan membuat laporan terbuka berkaitan keadaan sebenar di dalam pusat tahanan terbabit.

“Ianya satu persoalan yang mudah ditangani kerana hanya dengan menyiarkan gambar-gambar keadaan sebenar, maka dakwaan-dakwaan palsu dan berbaur fitnah dapat dijawab.

“Pihak immigresen boleh selepas itu mendakwa pelapor atas laporan palsu dan fitnahnya,” kata Khalid dalam kenyataan itu.

Heidy Quah, Pengasas kepada Refuge for Refugees telah disoalsiasat lebih dua jam oleh polis di Putrajaya berkaitan dengan posting beliau tentang keadaan pelarian di kem tahanan mereka.

Khalid berkata, AMANAH merakamkan keprihatinan terhadap Heidy Quah yang sedang melalui siasatan polis berkaitan penulisan beliau sebagai seorang individu awam di media sosial.

Tulisan beliau mendakwa adanya suasana dan layanan buruk terhadap pendatang tanpa izin di sebuah pusat tahanan pendatang tanpa izin dalam negara.

Beliau disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.

Laporan polis telah dibuat oleh Jabatan Imigresen Malaysia yang mendakwa bahawa laporan oleh Heidy Quah itu tidak benar.

Tanpa menafikan keperluan polis untuk menjalankan siasatan setelah mendapat laporan, AMANAH menggesa supaya siasatan dijalankan dengan profesional dan adil kerana ianya melibatkan satu dakwaan fitnah ke atas sebuah agensi kerajaan, kata Khalid.

Rakyat seharusnya diberi kebebasan untuk menyuarakan pemerhatian dan pandangan mereka, secara bertanggungjawab, terhadap mana-mana agensi kerajaan dalam melaksanakan tugas mereka. Ini adalah kerana agensi kerajaan dibiayai oleh cukai dari rakyat.

AMANAH bimbang sekiranya undang-undang dan penguatkuasaan digunakan bagi tujuan untuk menyembunyikan kelemahan dan kegagalan sesuatu agensi kerajaan.

Amalan begitu hanya menimbulkan ketakutan rakyat untuk menegur ke arah memperbaiki dan ini boleh mengganggu kesejahteraan negara.

“AMANAH turut menggesa supaya tindakan yang dilihat bersifat otoritarian (kuku besi) dihentikan. Tindakan sebegitu hanya memburukkan imej negara di persada dunia,” katanya.