Imigresen Malaysia gantung kemasukan rakyat negara China dari Wuhan, Hubei

Imigresen Malaysia gantung kemasukan rakyat negara China dari Wuhan, Hubei

Ekoran peningkatan kes Koronavirus, semua kemudahan imegresen kepada rakyat negara China dari bandar Wuhan dan Wilayah Hubei akan digantung buat sementara yang berkuatkuasa serta merta.

Keputusan penggantungan imegresen tersebut membabitkan visa eNTRY (Kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara China, khususnya di Wilayah Hubei tersebut dan ianya adalah berkuatkuasa serta merta.

“Kemudahan imigresen ini akan diberikan semula setelah keadaan kembali normal.

“Wisma Putra akan menyelaras pelaksanaan keputusan ini bersama pihak Kerajaan China,” katanya melalui satu kenyataan yang disiarkan melalui Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan juga mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sah atau palsu berkenaan novel koronavirus yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman kepada masyarakat umum.