Imigresen nafi kemasukan tiga juta warga China semasa gangguan sistem KLIA

Imigresen nafi kemasukan tiga juta warga China semasa gangguan sistem KLIA

Jabatan Imigresen hari ini menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial mengenai kemasukan tiga juta warga China dan kemasukan tidak teratur warga asing ke Malaysia semasa gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam kenyataan hari ini berkata, semasa sistem Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) di KLIA mengalami ganguan, proses pemeriksaan kemasukan warga asing oleh jabatan itu dilakukan secara manual.

Semua pelawat asing juga perlu mematuhi syarat serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan pelawat asing.

“Selain itu, semua langkah keselamatan turut dipertingkatkan termasuk melakukan pemantauan berterusan oleh pasukan pemantau dan penguatkuasa di balai ketibaan dan perlepasan antarabangsa serta kawasan satelit,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, sistem telah mula beroperasi secara berperingkat mulai semalam dan semua proses pemeriksaan masuk pelawat asing berjalan seperti biasa.

Justeru, Khairul Dzaimee menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu tentang kesahihan sesuatu berita sebelum membuat sebarang perkongsian dan menjadikan ia tular.

Sistem rangkaian di KLIA yang mengalami gangguan sejak Rabu malam (21 Ogos) dilihat semakin pulih sejak Sabtu, selepas MAHB melakukan penggantian perkakasan rangkaiannya.– BERNAMA