Imigresen sahkan Najib, keluarga tidak dibenar keluar negara

Najib sahkan beliau dilarang dari keluar negara.

 

Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan, pasport Datuk Seri Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor disekat.

Ia turut disahkan oleh Najib melalui twitternya.

“Saya telah dimaklumkan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia tidak membenarkan saya dan keluarga keluar negara.

“Saya menghormati arahan tersebut dan akan bersama keluarga dalam negara,” kata Najib melalui twitternya.

Pagi ini, kira-kira 50 rakyat negara ini berhimpun di lapangan terbang Subang bagi menyekat Najib dan keluarga keluar negara.

Ini berikutan maklumat yang diterima bahawa Najib dan keluarga akan ke Indonesia.

Kenyataan tersebut muncul selepas tidak sampai setengah jam Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan status sebenar Najib.

“Jabatan Imigresen Malaysia ingin mengesahkan bahawa Dato Sri Najib Tun Abdul Razak dan Datin Sri Rosmah Mansor baru sahaja disenarai hitamkan dari keluar negara,” dipetik daripada laman rasmi Facebook jabatan kerajaan itu.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Jabatan Imigresen Malaysia tidak menghalang Najib dan Rosmah untuk ke luar negara selepas beberapa jam portal berita itu mendedahkan kedua-dua individu yang menjadi perhatian pasca PRU-14 itu telah disenaraihitam.

Malaysiakini mendakwa berlaku perubahaan status ketika memeriksa Semakan Status Perjalan Imigresen (SSPI) pada jam 9.18 pagi tadi dengan menggunakan nombor kad pengenalan Najib dan Rosmah.

Walhal, semakan sama portal itu menggunakan proksi luar negara awal pagi tadi mendapati kedua-duanya terpampang keputusan tertera “Sila rujuk ke pejabat imigresen terdekat”.

Kenyataan tersebut lazimnya berlaku pada status Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan aktivis politik yang tidak dibenarkan ke luar negara sebelum ini.

Kebiasaannya, paparan keputusan yang tertera adalah “Tiada Halangan” jika Imigresen tidak menyenaraihitamkan seseorang individu itu.

8.0
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 7.0
CATEGORIES
TAGS