Malaysia Dateline

Impak cadangan bina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim perlu buat kajian

Cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim perlu dibuat kajian kebolehlaksanaannya terlebih dahulu sebelum projek kerajaan Persekutuan tersebut dapat dilaksanakan.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengulas mengenai cadangan pembinaan lapangan terbang tersebut di Kulim.

Malah katanya lagi, kerajaan negeri Kedah perlu menyatakan kedudukan sebenar samada projek bernilai RM1.6 bilion tersebut adalah untuk kategori kargo ataupun penumpang.

“Kerajaan Persekutuan perlu terlebih dahulu menjalankan kajian kebolehlaksanaan sebelum projek lapangan terbang tersebut dapat dilaksanakan.

“Kedudukan jarak Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hanyalah dalam lingkungan 50 kilometer sahaja.

“Adalah diharapkan kerajaan negeri Kedah dapat menjelaskan mengenai kedudukan sebenar projek tersebut, ” ujarnya

Tegas Chow lagi, kesan dan impak kepada Pulau Pinang juga boleh diketahui melalui kajian kebolehlaksanaan yang akan dijalankan nanti.

Tambah beliau, dokumen rasmi Koridor Utara Malaysia juga menyatakan bahawa terminal lapangan terbang yang baru di Kulim bukan dibiayai oleh kerajaan Persekutuan, sebaliknya adalah atas inisiatif pihak swasta.

Semalam Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali mengumumkan sebanyak RM1.6 bilion telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan bagi pembinaan KXP membabitkan pelaburan luar.

Azmin juga turut menyatakan bahawa kerajaan Persekutuan turut meluluskan tujuh projek berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion.