Impak CPTPP ke atas sektor pertanian akan dipanjangkan ke kabinet

Oleh ARIF ATAN


Tuntutan isu Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang memberi impak kepada sektor pertanian negara akan dibawa ke mesyuarat kabinet oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Mohamad Sabu.

Jurucakap Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Nurfitri Amir Muhammad berkata Mohamad Sabu memberi jaminan untuk membawa enam tuntutan yang telah dikemukakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai kesan CPTPP untuk dibincangkan pada mesyuarat kabinet kelak.

“Komitmen menteri tadi dia kata akan berhubung dengan lebih lanjut dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tetapi keputusan ini adalah keputusan Perdana Menteri dan kabinet bukan MITI.

“Jadi Perdana Menteri perlu respon terhadap isu ini. Dia (Mohamad Sabu) akan bawa ke kabinet,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan kementerian itu hari ini.

Pada 5 Oktober lalu, MITI menjelaskan kabinet bersetuju meratifikasi CPTPP, sekali gus menyaksikan Malaysia menjadi negara kesembilan meratifikasikan perjanjian perdagangan bebas yang dimeterai pada 8 Mac 2018.

Nurfitri mendakwa kerajaan terdahulu tidak menilai kesan terhadap petani serta golongan nelayan ketika ia memutuskan untuk menandatangani perjanjian itu pada 30 September lalu.

Katanya, CPTPP dikhuatiri menyebabkan lambakan import susulan pemansuhan tarif dan cukai import yang terkandung dalam perjanjian itu, sekali gus mengecilkan sektor pertanian tempatan.

“Pemansuhan tarif dan cukai import kepada kosong peratus ini akan menggalakkan lambakan import,” ujarnya.

Memorandum Forum Kedaulatan Makanan Malaysia mendakwa bahawa pelaksanaan CPTPP akan memberi implikasi berikut:

menafikan hak petani untuk berkongsi dan menjual benih

hak nelayan menangkap ikan tertentu

meningkatkan kos petani dan penternak

penghapusan tarif import untuk produk makanan

mekanisme kebersihan produk dan permit import lebih sukar dimanfaatkan

Usahawan tempatan, pengguna dan keterjaminan makanan akan terkesan


Terdahulu, Nurfitri bersama wakil daripada 54 NGO menyerahkan memorandum memperincikan tuntutan di atas dan mengadakan pertemuan sejam dengan Mohamad Sabu di Putrajaya.

Aktivis lain yang turut menyertai sesi penyerahan memorandum tersebut termasuk ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Ahmad Yazid Othman dan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr D Michael Jeyakumar.