Impian Hannah Yeoh jadi penyampai berita tercapai

Oleh MALAYSIADATELINE

Impian Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sejak daripada bangku sekolah untuk menjadi pembaca berita akhirnya terkabul selepas diberi penghormatan membuat penampilan eksklusif bagi edisi sulung “Stadium RTM (Radio Televisyen Malaysia)” dalam Berita Perdana hari ini.

Yeoh yang tampil dengan blazer berwarna merah dilihat tidak kekok dan tampil bersahaja ketika mengemudi segmen yang memaparkan perkembangan sukan tempatan dan antarabangsa selama lebih empat minit itu.

Antara bahan berita dibaca Yeoh adalah paparan mengenai penyertaan Malaysia di Sukan SEA diikuti proses penurapan Litar Antarabangsa Sepang serta prestasi Harimau Malaya yang mencatat dua kemenangan dengan menumpaskan Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, baru-baru ini.

Stadium RTM merupakan salah satu slot baharu dalam Berita Perdana yang tampil dengan wajah baharu bermula hari ini menerusi pendekatan skrip lebih ringkas, penyampaian yang dinamik manakala durasi pula dipendekkan daripada sejam kepada 30 minit bersempena ulang tahun ke-77 RTM.

Di penghujung siaran, Yeoh turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat ulang tahun ke-77 kepada RTM sebelum mengakhiri segmen dengan mengungkapkan ‘Teman Setia Anda’, yang merupakan moto stesen penyiaran itu.

Beliau juga memuat naik satu hantaran di laman Instagram yang memaparkan wajahnya serta pembaca berita RTM lain beserta kapsyen “bucket list” berhubung pengalamannya membaca berita di stesen televisyen milik kerajaan tersebut, yang bersiaran pada 8 malam setiap hari.

“Terima kasih @beritaRTM atas keyakinan yang diberi kepada saya sebagai penyampai pertama untuk segmen ini,” katanya dalam satu lagi hantaran di laman Instagram ketika mempromosi Stadium RTM, Khamis lepas (30 Mac).

Yeoh yang membuat penampilan sebanyak dua kali dalam segmen Stadium RTM akan kembali bersiaran esok (2 April).

Selain Stadium RTM, wajah baharu Berita Perdana turut dimantapkan dengan satu lagi segmen baharu iaitu “H-Klik” yang mengetengahkan perkembangan seni kreatif dan hiburan tanah air.

— BERNAMA

Baca juga: Berjaya kutip RM500 sehari di bazar Ramadhan, pengemis pilih tidur di hotel