Impian, harapan agar AMANAH jadi pilihan majoriti rakyat

Impian, harapan agar AMANAH jadi pilihan majoriti rakyat

Impiannya adalah AMANAH menjadi sebuah parti Islam yang menjadi pilihan majoriti rakyat dan dapat memimpin Malaysia untuk menjadi sebuah negara Islam yang progresif.

Maka adalah menjadi harapan bagi sebahagian daripada penyokong AMANAH supaya parti ini menampilkan naratif dan syiar Islam dalam menyatakan sikap dan tindakannya. Dengan berpegang bahawa sebuah parti Islam yang bersifat progresif adalah terbaik untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang Rahmatan Lil Alamin.

Tetapi realitinya kini AMANAH adalah sebuah parti kecil bukan saja dalam Pakatan Harapan tetapi juga pada lanskap politik kepartian negara. Walaupun kecil, AMANAH mempunyai peranan kunci bagi kejituan Pakatan Harapan. Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa AMANAH, walaupun bukan “king” tetapi peranan “kingmaker”nya adalah jelas. Lebih-lebih lagi ternyata AMANAH komited terhadap persetujuan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan akan diganti dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakikatnya, walaupun keanggotaan AMANAH adalah terbuka untuk semua anutan agama tetapi latar belakang kelahirannya menunjukkan bahawa ia adalah sebuah parti Islam. AMANAH dilihat sebagai pecahan daripada Pas seperti mana juga Berjasa dan Hamim. Maka tradisi kepartian Islam AMANAH adalah jelas. Tetapi dari sudut Gerakan Islam yang besar, Pas merupakan pecahan daripada Gerakan Islam dengan AMANAH meneruskan jalan perjuangan sebenar.

Pas tetap merupakan parti Islam utama negara. Tetapi di kalangan parti-parti politik orang Islam, Pas adalah kecil berbanding dengan Umno, Bersatu dan PKR. Realitinya adalah majoriti rakyat ini tidak menyokong parti Islam. Majoriti rakyat negara ini berlegar pada parti umum Umni, Bersatu dan PKR. Pas akan tetap minoriti. Apatah lagi AMANAH yang kedudukannya adalah minoriti yang berpecah daripada minoriti.

Tetapi tentunya AMANAH lebih besar daripada Berjasa dan Hamim. Dari awal lagi impiannya adalah untuk mempunyai kedudukan lebih tinggi dari Pas. AMANAH mahu menggantikan Pas sebagai parti Islam utama dan selanjutnya menjadi parti induk di kalangan semua parti.

Sememangnya bagi banyak pendukung AMANAH, parti ini adalah paling unggul di Malaysia, bukan saja melebihi Pas tetapi semua parti yang ada di negara ini. Kalau tidak masakan pendukung-pendukung AMANAH yang banyak merupakan bekas penyokong Pas beralih parti. Mereka juga tidak memilih untuk menyertai parti-parti Pakatan Harapan lain sama ada Bersatu dan PKR yang dipimpin oleh Perdana Menteri dan bakal Perdana Menteri.

Walaupun AMANAH hanya dipimpin oleh Menteri Pertahanan tetapi peranan Presiden AMANAH adalah kunci kepada bukan saja kepada kejayaan parti tetapi juga kestabilan Pakatan Harapan dan seterusnya kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 2018.

AMANAH adalah lebih baik daripada Pas dari segi misi dan idealisme perjuangannya. Fahaman perjuangannya bermula dalam Pas ketika mula berlaku proses Kepimpinan Ulama pada tahun 1982 dan Mohamad Sabu adalah antara aktivisnya. Ia menjadi AMANAH pada tahun 2015 kerana mahu mengekalkan idealisme perjuangan asal yang dipanggil sebagai Islam progresif yang terungkap sebagai gagasan Rahmatan Lil Alamin. Kini ia menjadi salah satu dasar tonggak bagi kerajaan Pakatan Harapan.

Sememangnya kehadiran AMANAH dalam kerajaan Pakatan Harapan adalah bersifat kolektif. Maknanya kemenangan calon-calon AMANAH adalah kerana sokongan rakyat terhadap keseluruhan Pakatan Harapan. Begitu juga kemenangan calon-calon Bersatu, PKR dan DAP adalah juga dari sokongan penyokong AMANAH. Maka mandat yang dipegang oleh wakil-wakil rakyat AMANAH adalah juga bagi pihak parti Bersatu, PKR dan DAP.

Dalam sistem politik pakatan, AMANAH seperti juga parti-parti lain wajar bersiasah untuk menggunakan kuasa yang diperoleh bagi melaksanakan idealisme parti. Kuasa bukan untuk dinikmati tetapi untuk dimanfaatkan bagi idealisme parti seperti yang diharapkan oleh rakyat.

* Zin Mahmud adalah bekas editor kanan kumpulan Utusan Melayu