Malaysia Dateline

Impian Nazmizan lahirkan Universiti Sukan Malaysia jadi kenyataan

Baru-baru ini, AMK Terengganu bersama Pemuda AMANAH Terengganu telah menganjurkan sebuah forum berbentuk santai yang membincangkan isu berkenaan sistem sukan negara buat julung kalinya.

Forum ini dikatakan bakal diteruskan lagi dengan topik yang berbeza bagi mengenal pasti yang membelenggu pemain dalam industri sukan negara.

Bagi forum yang pertama ini, perbincangan kritikal berkenaan sistem sukan negara dengan tajuknya “Relevankah Penubuhan Universiti Sukan Malaysia”.

Panelis yang mengulas isu ini juga bukan calang-calamg orangnya iaitu Nazmizan Muhammad yang juga bekas pelari pecut negara dan juga pengasas bersama parti MUDA iaitu Tarmizi Anuwar yang juga pelajar jurusan Pendidikan Jasmani dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Nazmizan Muhammad turut berkongsi kisah beliau bagaimana beliau diambil menjadi permata pelapis olahraga negara di bawah program Bakat Khas Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) sekitar tahun 1990an di mana bakatnya sepatutnya dicungkil dalam sukan lompat bergalah. Namun, pada akhirnya beliau lebih menyerlah dalam acara pecut.

Nazmizan bersetuju dengan penubuhan Universiti Sukan Malaysia kerana bagi beliau ia lebih membantu seseorang atlet itu untuk fokus pada pembelajaran dan mudah ke lokasi bagi meneruskan latihan pusat secara konsisten.

Bagi beliau terdapat pelbagai perubahan yang dilihat dalam sistem sukan negara ini, namun beliau menyatakan Universiti Sukan Malaysia ini akan melahirkan lebih ramai “thinking athlete” serta memberi motivasi tambahan buat atlet negara.

Bagi Tarmizi Anuwar pula, beliau mengkritik kelompongan pendidikan sukan negara yang agak terhad dalam silibus pembelajaran di universiti-universiti tempatan hari ini.

Malah beliau turut menyarankan agar ada program TVET berkenaan sukan yang lebih memfokuskan praktikal berbanding teori. Menurut beliau perlu ada satu penambahbaikan daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkenaan isu ini.

Tarmizi juga mengkritik penglibatan ahli politik dalam persatuan sukan yang sekadar ingin mendapatkan “political mileage” sahaja namun tiada pelan jangka panjang dalam persatuan sukan tersebut. Beliau berpendapat persatuan sukan harus dikendalikan oleh orang yang mahir dalam industri sukan itu.

Universiti Sukan Malaysia ini pernah dibincangkan oleh beberapa pakar dalam industri sukan negara, namun masih tiada perincian yang jelas untuk menjadikan ia satu realiti.

Jika Malaysia menubuhkan sebuah universiti sukan pertama, saya yakin ia akan menjadi satu penanda aras yang lebih tinggi dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi negara.

Kita dapat lihat bagaimana negara China menjadi kuasa besar utama dunia dalam industri sukan kerana mereka mempunyai hampir 7 buah universiti sukan dan hasilnya pada hari ini melahirkan pelbagai atlet berprestasi tinggi dari sukan yang berbeza.

Malah, langkah ini juga turut dilakukan oleh beberapa negara lain seperti di India, Vietnam dan Korea Selatan.

Boleh dikatakan negara-negara yang mempunyai universiti sukan ini melahirkan atlet bertaraf dunia secara konsisten malah menjadi kuasa besar dalam industri sukan dunia pada hari ini.

Industri sukan di negara ini perlu ditambahbaik supaya kita dapat memecahkan tembok untuk mendapat emas Olimpik pertama negara selain melahirkan lebih ramai lagi atlet bertaraf dunia.

Kedua-dua panelis ini secara peribadinya bersetuju dengan idea penubuhan universiti sukan ini dan besar harapan bagi pemain industri sukan negara untuk melihat sukan di angkat kepada satu tahap yang lebih tinggi memandangkan industri sukan juga banyak memberi keuntungan pada negara.