Malaysia Dateline

Impian ratu baharu kuak dada Malaysia ke Olimpik

Keputusan kerajaan memindahkan bazar Ramadan Jalan TAR ke jalan Raja berhadapan bangunan Sultan Abdul Samad mendapat reaksi positif daripada pengunjung bukan sahaja Melayu, bahkan turut menarik perhatian beberapa pelancong yang datang.

Tinjauan Malaysia Dateline mendapati rata-rata pengunjung berpuas hati dengan kedudukan bazar yang luas dan kebersihan yang terjaga di samping keadaan bazar yang tidak sesak dan panas.

Seorang pengunjung dari Sarawak, Koh Ek Chong, 56, berkata beliau datang ke Kuala Lumpur untuk bercuti dan terlihat bazar sepanjang Jalan Raja yang meriah dan besar.

“Ketika saya naik grab, saya ternampak khemah ini dan diberitahu oleh pemandu grab bahawa kawasan ini merupakan bazar yang menjual baju dan makanan.

“Saya sempat beli dua baju batik untuk dibawa pulang ke Sarawak. Bazar ini pun besar dan selesa untuk berjalan cuma tak ada makanan boleh saya beli,” katanya.

Pengunjung dari Batu Pahat pula, Muhammad Sani Sukiran, 42, berkata, beliau sedang bercuti dengan keluarga di Kuala Lumpur dan kebetulan tertarik dengan bazar yang paling besar di ibu kota.

“Saya datang sini sebab dengar orang kata sini ada bazar paling besar. Memang berpuas hati lah dengan kawasan yang kemas dan selesa untuk pengunjung luar datang membeli belah.

“Parkir pula agak susah sebab tak banyak ruang parkir kereta yang disediakan. Hanya parkir motor yang ada. Saya sarankan pengunjung yang ingin datang nanti, naik saja pengangkutan awam. Kita jimat masa sekali gus dapat elak kesesakan lalu lintas,” katanya.

Wartawan turut mendekati sekumpulan pekerja yang datang kerana ingin membeli makanan juadah berbuka puasa. Mereka memberi maklum balas positif di mana kawasan bazar yang terletak berdekatan stesen MRT memudahkan pergerakan orang ramai untuk mengunjungi bazar tersebut pada bulan puasa.

Mereka juga menyatakan keyakinan bazar yang dipindahkan ini akan dapat menarik lebih banyak pengunjung dan akan lebih meriah dari tahun-tahun sebelumnya walaupun tahun ini tiada makanan basah yang dijual.

Tinjauan turut mendapati empat buah tandas awam disediakan untuk kemudahan orang ramai selain suasana disekitar padang Dataran Merdeka yang turut meriah dengan rata-rata keluarga berbuka dan berkelah di kawasan Jalan Raja.

Bazar Ramadan Jalan Raja terdiri daripada 344 petak dan sempena operasi perniagaan itu, DBKL mengambil langkah menutup sebahagian laluan Jalan Raja kepada kenderaan dan dijadikan laluan sehala secara berjadual.

Laluan hanya dibuka kepada kenderaan dari Jalan Sultan Hishamuddin ke Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut bermula jam 12.01 pagi hingga 1 petang. Manakala laluan sebaliknya dari Jalan Tun Perak ke Jalan Sultan Hishamuddin dibuka bermula jam 1.01 petang hingga 12 malam.