Malaysia Dateline

IMPISS Sarawak akan terus santuni golongan asnaf

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ikatan muhibbah permuafakatan Islam Sarawak (IMPISS) akan terus melaksanakan program berkaitan kebajikan kepada golongan asnaf di negeri ini.

Timbalan Pengerusinya, Khairul Nikman Julaihi berkata, IMPISS Sarawak telah banyak melaksanakan pelbagai program kebajikan termasuk aktiviti bersama belia sebelum ini.

Katanya, walaupun program hanya dianjurkan itu secara berskala kecil namun sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada seluruh masyarakat khususnya di kawasan pedalaman.

“Alhamdulilah…selain program berjumpa dengan golongan asnaf, kami juga telah mengadakan aktiviti konvoi bermotosikal bersama belia-belia sambil menyampaikan sumbangan berupa keperluan asas.

“Kami akan singgah di kampung-kampung yang dilalui semasa konvoi bagi menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

“Dan ternyata, pendekatan ini amat berkesan kerana rata-rata belia yang menyertai program sedemikian sangat teruja sehingga ada cadangan supaya aktiviti ini diteruskan dari masa ke semasa,” ujar Khairul Nikman.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan berupa keperluan asas kepada golongan asnaf dalam Program Kasih Bertaut di Kampung Senari, Kuching semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Halil Abang Naili dan Pengerusi IMPISS Sarawak, Mohd Ariffin Taha serta 50 penduduk kampung.

Tambahnya, IMPISS Sarawak turut merancang program berbentuk motivasi khususnya kepada pelajar dan murid sekolah selain aktiviti sukan untuk para remaja.

“Sebenarnya, untuk tahun ini banyak program yang telah dirangka tetapi terpaksa ditangguh akibat pendamik Covid-19 sejak 18 Mac lalu.

“Apa pun, kita tetap mengadakan aktiviti kebajikan bagi menghantar sumbangan dari rumah ke rumah dalam skala yang kecil.

“Ini kerana, hanya dengan ini sahaja cara kita dapat membantu masyarakat yang kurang berkemampuan lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang merundum akibat Covid-19,” jelasnya.