Malaysia Dateline

Implikasi politik acara peringatan Holocaust

Tarikh 27 Januari lalu adalah hari peringatan ulang tahun Holocaust. Setiap tahun hari memperingati Holocaust diadakan di Israel, Amerika Syarikat dan Eropah, terutamanya Jerman.

Acara memperingati peristiwa-peristiwa sejarah adalah amalan biasa bagi negara-negara bangsa terutama apabila ia membabitkan pembunuhan orang awam yang tidak bersalah.

Jepun juga memperingati ulang tahun pengeboman atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki. Ia dilakukan setiap tahun. Begitu juga dengan Bosnia yang memperingati ulang tahun pembunuhan ramai ke atas orang awam yang dilakukan oleh pihak Serbia di Srebrenica.

Semua acara peringatan ini bukan saja untuk mengenang mangsa dan menyalahkan pelaku kejahatan yang berkaitan tetapi juga mempunyai nilai-nilai politik secara langsung dan tidak langsung.

Nilai politik pada acara peringatan pembunuhan di Srebrenica itu adalah hak kemerdekaan Bosnia-Hezergovina dengan orang Islam di sana mempunyai mempunyai kedudukan setaraf dengan kaum Serb di negara itu.

Sementara acara peringatan ulang tahun pengeboman atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki pula menunjukkan bukan saja penggunaan senjata nuklear wajar diharamkan tetapi juga mendedahkan bahawa Amerika, dalam menjadi sebuah negara demokratik tetapi adalah juga kuasa besar yang kejam. Maka dunia patut memaafkan kesilapan Jepun dalam Perang Dunia Kedua dan menerimanya sebagai negara baharu yang berbeza daripada sebelumnya.

Nilai politik daripada acara memperingati Holocaust lagi hebat dan mencorakkan dunia pasca-Perang Dunia Kedua. Selain mengingatkan Eropah khususnya Jerman mengenai kesalahan mereka, baik dari segi tidak menghalang kenaikan Nazi dan sikap anti-semitisme yang tertanam ratusan tahun dalam budaya Kristian, peristiwa itu juga mengesahkan kesahihan fahaman Zionisme dan keperluan mempertahakan kewujudan Israel.

Holocaust adalah peristiwa dahsyat dengan jutaan tidak bersalah dibunuh kejam oleh kerajaan Nazi di ruang-ruang gas di kem tahanan. ia adalah selaras dengan polisi penghapusan etnik Yahudi.

Walaupun ada golongan yang menafikan berlaku Holocaust, yang dikenali sebagai “Holocoast deniers”, baik di kalangan aliran ekstrem kanan atau pun daripada segelintir orang Islam, tetapi umumnya dapat diterima bahawa peristiwa itu sememangnya benar-benar berlaku.

Terdapat pula golongan yang bukan ekstrem kanan seperti neo-Nazi dan bukan orang islam, malah antaranya orang Yahudi sendiri yang mempertikai angka rasmi kematian Holocaust itu. Mereka menerima bahawa Holocaust itu berlaku tetapi ia tidaklah membabitkan angka rasmi yang dikeluarkan itu. Mereka juga mendakwa bahawa angka itu dibesar-besarkan supaya dunia terpaksa menerima pihak Zionis, dan seterusnya terus mempertahankan Israel, tidak kiralah apa yang rejim Tel Aviv itu lakukan terhadap rakyat Palestin.

Jika setiap tahun seseorang memerhatikan acara memperingati Holocaust yang pastinya disiarkan dalam saluran televiyen Jerman, DW, akan dapat dirasakan bahawa bukan saja Nazi dipersalahkan tetapi juga keseluruhan Eropah dan dunia Barat. Setelah rasa bersalah, mereka akan menyokong kehadiran dan semua kehendak. inilah political correctness (sikap politik yang betul) bagi dunia Barat.

Dalam hal Holocaust, ia tidak kena mengena dengan orang Islam dan orang bukan Barat. Holocoast ini berpunca daripada keadaan dunia Barat sendiri. Yahudi di Eropah pula adalah sebahagian daripada dunia Barat. Tetapi kehadiran Israel menjadikan rakyat Palestin yang merupakan sebahagian daripada dunia Arab dan islam sebagai mangsa.

Tetapi kini apabila disebut sebagai anti-semitisme atau anti-Yahudi, maka rujukan utamanya adalah pada orang Islam dan golongan tertentu dalam aliran kanan jauh seperti neo-Nazi dan neo-fasis serta kumpulan kiri tertentu, yang kebanyakan masa hanya tuduhan semata-mata. Dua tahun lalu, Parti Buruh Britain dan pemimpinnya, Jeremy Corbin dituduh anti-semit walaupun mereka menafikannya. Ia telah menjejaskan peluang parti itu untuk memenangi pilihan raya. Apabila dituduh sebagai anti-semit,, maka adalah sukar untuk meraih undi di dunia Barat.

Ada yang menyebut anti-semitisme pasca-Perang Dunia Kedua sebagai neo-antisemitisme atau anti-semitisme baharu. Kalau anti-semitisme, ia melibatkan orang Kristian dan golongan ketuanan Aryan iaitu fasis-Nazi tetapi neo-antisemitisme baharu tidak melibatkan orang Kristian. Ia hanya melibatkan orang Islam dan golongan kiri iaitu sosialis! komunis dan anarkis.

Anti-semitisme lama meminggirkan orang Yahudi dan pada ekstremnya menghapuskan mereka sepert yang dilakukan oleh Nazi. Tetapi antii-semitisme baharu hanya dikaitkan pada penghapusan Israel dan bukannya bangsa Yahudi. Bagi mereka, sesiapa yang mahu menghapuskan Israel dianggap anti-semit atau anti-Yahudi. Sedangkan realitinya tidak begitu. Orang Islam menolak Israel kerana negara itu menghapuskan Palestin. Begitu juga dengan sikap golongan kiri. Mereka melihat Israel sebagai projek imperialis yang menjajah Palestin. Imperialisme pula merupakan kemuncak kapitalisme. Tokoh kiri yang terkenal menentang israel ialah Noam Chomsky. Beliau adalah seorang anarkis Yahudi warga Amerika.

Istilah anti-semitisme pun hakikatnya tidak tepat. Etnik Semit terdiri bukan saja Yahudi tetapi Arab. Jadi apabila orang Arab bersikap anti-Yahudi, mana mungkin suatu kaum Semit bersikap anti kaumnya sendiri. tetapi istilah anti-semit merujuk pada orang Eropah khususnya Kristian yang bersikap anti-Yahudi. Selepas Perang Dunia Kedua dan Holocoast, Kristian dan Yahudi menjadi sekutu dan keduaoduanya adalah sebahagian daripada dunia Barat. Harga untuk itu ialah Mandat Palestin yang diserahkan oleh Britain untuk dijadikan Israel.

Mandat Palestin bukanlah tanah jajahan Britain. Ia adalh wilayah amanah yang dipegang Britain ekoran kekalahan Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama. Ia perlu diserahkan pada rakyat Palestin. Tetapi Britain memecahkan Palestin menjadi tiga bahagian. Sebahagiannya dijadikan Israel. Sebahagiannya dijadikan Jordan dan Gaza pula diserahkan pada Mesir. Palestin hilang daripada muka bumi.

Tetapi sikap orang Islam juga muncul dalam pelbagai bentuk. Ia berubah mengikut zaman. Pada masa ini, ada orang Islam yang anti-Yahudi kerana kehadiran israel. Ada yang tidak mempercayai Holocoast berlaku dan menganggap ia sebagai projek propaganda Israel. Malah ada yang ekstrem dan menyokong Nazi dalam penghapusan etnik Yahudi. Sementara ada orang Islam yang anti-Yahudi kerana agama. Mereka menganggap Yahudi adalah kaum tercela yang mengingkari Tuhan dan mereka perlu diperangi.

Holocoast pada asasnya bukan isu agama atau politik. Ia adalah isu kemanusiaan. Yang dibunuh oleh Nazi secara kejam dan memilukan itu adalah manusia biasa yang tidal bersalah. Mereka lahir sebagai Yahudi dan menjadi mangsa ideologi politik kanan ekstrem Nazi.

Dalam Islam, sememang terdapat rujukan mengenai kesesatan Yahudi sejak zaman Nabi Musa. tetapi ia merupakan pengajaran akidah supaya orang Islam tidak mengikut jejak mereka. Tetapi orang Yahudi dan Nasrani tetap dianggap sebagai golongan Ahli Kitab.

Di Madinah, ketika zaman Rasulullah s.a.w, terdapat suku-suku kaum Yahudi. Ada yang bersama baginda, tidak kurang pula yang menentang orang islam. malah menjadi pengkhianat. Golongan Yahudi yang menentang Rasulullah s.a.w.. tentulah diperangi seperti mana yang dialami oleh kaum Quraisy juga

Pada zaman Umayah, Abasiah dan Uthmaniah, orang Yahudi menjadi warga penting dalam tamadun dan pemerintahan Islam. Ini termasuk di Andalusia. Apabila Andalusia tumbang pada Kristian, orang Yahudi dan Islam dipaksa memeluk agama Kristian. Banyak daripada orang Yahudi lari dan mendapat perlindungan di Balkan di bawah perlindungan Uthmaniah. Orang Islam tidak anti-Yahudi dan tidak anti-semit.

Malah ketika zaman Mandat Palestin, orang Yahudi yang lari dari Eropah untuk menetap di Palestin tidak diperangi oleh orang Islam. Pentadbir membahagikan Palestin kepada dua wilayah. Wilayah utama adalah kawasan Arab. Bahagian kecil tertentu dikategorikan sebagai kawasan Yahudi.

Hanya apabila pengganas Zionis menghalau orang Palestin dari kawasan Arab dalam peristiwa Nakbah, barulah orang Islam membantah. Sejak itu, mereka menentang Yahudi, Zionis dan Israel. Ia bukan sikap anti-Yahudi atau anti-semit tetapi merupakan pembelaan terhadap hak kemanusiaaan dan kerakyatan Palestin.