Imran Khan bakal kukuhkan hubungan strategik Pakistan Malaysia

Imran Khan bakal kukuhkan hubungan strategik Pakistan Malaysia
Tidak mustahil sama sekali, sekiranya Pakistan bakal pulih kembali, terutamanya dengan jaringan strategik lautan bersama dengan Malaysia, Turki dan Indonesia.

 

Bukan senang untuk menjadi Perdana Menteri di Pakistan. Kuasa di sebalik tabir bukan sahaja berada di pihak tentera tetapi bahagian perisikan tentera Pakistan yang dinamakan ISI.

Namun, hendak tidak hendak, Imran Khan, yang merupakan mantan kapten pasukan kriket yang pernah memenangi Piala Dunia, telah ditakdirkan untuk berjaya juga. Beliau mendapat sokongan bulat rakyat Pakistan serta pihak ketenteraan dan ISI.

Namun, takdirnya bukan sekadar ia memenuhi cita-cita Imran Khan, yang amat sayang kepada arwah ibunya, untuk menjadi Perdana Menteri bagi membantu kesemua rakyat Pakistan yang kurang berada, tetapi tepat pula pada masanya.

Imran menjadi perdana menteri selepas kembalinya Tun Dr Mahathir Mohammad sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh. Imran Khan bukan sahaja sangat hormat dengan negarawan Malaysia dan dunia Islam ini tetapi ingin mencungkil buah pemikirannya untuk mempertingkatkan taraf hidup rakyat Pakistan berlandaskan sistem pemeritahan corak Malaysia.

Kejadian ini, tidak boleh dilihat sebagai satu perkara yang rawak tetapi penuh dengan peluang peluang yang keramat dan strategik. Sekiranya peluang ini dicengkam dengan sebaik baik oleh kesemua pihak, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang akan datang, hubungan dua hala Malaysia dan Pakistan akan menjadi lebih mampan.

Pertama, Pakistan juga sedang gusar dan gelisah dengan soal-soal kewangan. Tanpa suntikan USD18 billion dari International Monetary Fund (IMF), ekonomi Pakistan mungkin menjadi lebih tenat.

Dalam masa yang sama, Malaysia juga sedang menangani masalah sebegini. Hutang negara sudah mencecah USD250.6 billion disebabkan oleh kleptokrasi mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Loading...

Salah satu langkah Malaysia ialah mendapatkan bantuan kewangan dari Jepun melalui Samurai Bond sebanyak USD1.9 billion, dengan berkadar 0.65 peratus.

Langkah kedua, walaupun kurang diperhatikan, ialah untuk menyakinkan Ketua IMF, iaitu Christiane Lagarde, bahawa Malaysia mampu membinakan satu sistem kewangan yang utuh di Asia yang memang pesat membangun.

Perjumpaan Tun Dr Mahathir dengan Christiane Lagarde di Bali, Indonesia, pada bulan September 2018, yang diikuti pula dengan pertemuan kali kedua dengan beliau di Port Moresby di Papua New Guinea seminggu lepas, iaitu semasa perundingan APEC, nampaknya amat berkesan.

Paling minima, tekanan dan amaran agensi-agensi kredit sedunia rata-ratanya tidak berpusu-pusu untuk datang ke Malaysia untuk mencari kelemahan-kelemahan struktur negara.

Jaminan yang diberikan oleh Tun Dr Mahathir Dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai mesej yang sama. Malaysia akan mengukuhkan sistem demokrasi yang telus. Berdasarkan tatakelola yang bersih, cekap dan amanah, Malaysia bakal mengembalikan kewibawaannya.

Inspirasi yang diberikan oleh Malaysia kepada Perdana Menteri Imran Khan turut membawa kesan yang positif. Beliau percaya bahawa Pakistan boleh mengharungi masalah kewangan, sekiranya korupsi dan ketirisan boleh dibendung dengan serta merta.

Dengan bantuan pihak ketenteraan dan ISI, Pakistan yang merupakan salah satu negara yang berdepan dengan Lautan India serta Selat Hormuz yang paling strategik boleh memperbetulkan segala pemasalahan-nya.

Ideologi yang radikal dan ekstrim juga boleh dikekang, sekiranya Pakistan boleh mencatatkan kadar pertumbuhan yang baik. Kesemua ini memerlukan Pakistan pandang ke Timur, dengan Malaysia sebagai rakan sejagat, malah dengan ASEAN sebagai rakan dialog.

Yang pentingnya hubungan Pakistan yang erat dengan China juga. Sekiranya Beijing boleh melembutkan serta merendahkan lagi kadar bunga pinjaman Pakistan, terutamanya di projek-projek di Pelabuhan Bebas Gwaidar, Pakistan akan mendapat ruang untuk mengatur langkah.

Tidak mustahil sama sekali, sekiranya Pakistan bakal pulih kembali, terutamanya dengan jaringan strategik lautan bersama dengan Malaysia, Turki dan Indonesia.