Imran Khan umum menang pilihan raya Pakistan

Imran Khan umum menang pilihan raya Pakistan

Bekas bintang kriket Imran Khan mengumumkan kemenangan partinya di dalam pilihan raya umum Pakistan semalam.

Imran Khan, 65, mengaku sudah lama menanti saat-saat ini untuk berkuasa di Pakistan.

“Tuhan berikan saya peluang untuk berkuasa bagi melaksanakan ideologi yang telah saya mulakan sejak 20 tahun lalu,” Khan, 65 dipetik Reuters ketika berkata pada siaran langsung televisyen dari rumahnya di Islamabad semalam.

Kejayaan beliau dalam pilihan raya Rabu lalu menyaksikan kebangkitan aktivis anti rasuah itu yang dulu berada di pinggiran politik Pakistan dan kini semakin hampir menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun, penyokong bekas perdana menteri yang dipenjara Nawaz Sharif mendakwa Khan berpakat dengan tentera dan berkata berlaku penipuan dalam pilihan raya itu, lapor Reuters.

Imran turut berjanji akan menciptakan lapangan kerja bagi orang miskin dan mengumumkan bahaw beliau akan mengubah kediaman rasmi perdana menteri di ibu kota menjadi kemudahan pendidikan.

Dalam beberapa ucapannya sebelum ini, Imran menggambarkan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai suri teladannya.

Dalam suatu wawancara, Imran mengambil contoh Dr Mahathir dalam menekankan perlunya kepimpinan yang bersih bagi menghapuskan sistem politik yang dipenuhi rasuah.

“Ini adalah sebab kenapa saya memberikan contoh Dr Mahathir Mohamad, yang mengubah Malaysia dengan kelas politik yang sama dengan memberikan mereka kepimpinan yang bersih,” katanya dalam laporan itu.

Selepas kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya 9 Mei lalu, Imran melalui Twitter mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir meskipun terdapat percubaan “memanipulasi” pilihan raya oleh pentadbiran yang diterajui Datuk Seri Najib Razak.

Imran juga menyifatkan kepulangan Dr Mahathir ke pentas politik adalah bagi melawan “rasuah” yang disebabkan oleh Najib.