Malaysia Dateline

Imuniti kelompok antara hasrat dan kemungkinan

Berdasarkan matlamat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, Malaysia akan mencapai imuniti kelompok sama ada pada November atau Disember 2021, maknanya lebih kurang dalam lingkungan 5 bulan lagi.

Imuniti kelompok dikatakan sebagai antara pengukuran yang boleh digunakan untuk mengembalikan kehidupan sosial kepada keadaan yang normal, membolehkan masyarakat kembali menjalani kehidupan biasa, berdasarkan kebiasaan sebelum merebaknya Covid-19.

Proses vaksinasi merupakan kaedah yang dianggap berkesan untuk mempercepatkan imuniti kelompok dan mengembali realiti sosial dalam situasi normal.

Hampir semua negara dunia yang terkesan dengan Covid-19, telah menjadikan program vaksinasi sebagai agenda utama negara.

Negara yang dianggap berjaya dalam proses vaksinasi dan berpontesi kembali kepada hidupan sosial yang normal antaranya adalah Hungary, Hungary’s return to normalcy due to vaccination rollout’, ulas sebuah akhbar tempatan.

Petunjuk awal untuk Hungary kembali kepada dunia normal, dapat dilihat dengan kehadiran hampir 60,000 para penyokong pasukan bola sepak Hungary di Puskas Arena, Budapest bagi memberikan sokongan sewaktu Hungary menentang Portugal.

Kehadiran para penyokong yang kelihatan tidak lagi mengenakan pelitup muka, menjadi petanda awal tentang keberkesanan program vaksinasi yang dilaksanakan oleh Hungary. Vaccination is the world’s best shot at returning to normalcy, sebagaimana gambaran yang dideskripsikan oleh South China Morning Post.

Hungary telah memulakan proses vaksinasinya pada 28 Disember 2020, melibatkan seramai 0.01% penduduk. Sehingga 20 Jun 2021, Hungary telah berjaya melaksanakan proses vaksinasi merangkumi sejumlah 56% terhadap penduduknya, iaitu seramai 5.5 juta berbanding dengan keseluruhan penduduk 9.8 juta.

Satu lagi negara yang boleh dijadikan penandaras dalam proses vaksinasi ini adalah Kanada. Kanada dikatakan telah berjaya mencapai tahap vaksinasi pada kadar 64.23% daripada jumlah keseluruhan penduduknya yang seramai 38.1 juta orang.

Ini bermakna seramai 24.4 juta penduduk Kanada telah menerima vaksin. Sehingga 22 Jun 2021, Kanada telah menggunakan 33,051,815 dos untuk diberikan kepada rakyatnya.

Berbalik kepada situasi di Malaysia, disasarkan dalam tempoh antara November dan Disember 2020, dianggarkan 26 juta rakyat akan divaksinasikan. Ini bermakna dalam waktu sehingga akhir tahun 2021, Malaysia akan mencapai tahap imuniti kelompok pada kadar 80%.

Realiti ini merupakan unsur penanda aras utama untuk membolehkan segala aktiviti sosial, politik dan ekonomi kembali beroperasi pada tahap kawalan yang paling minimum, sebelum Malaysia kembali sepenuhnya untuk menikmati kebebasan sosio-ekonomi-politik, iaitu meraikan kebiasaan biasa yang diamalkan dan dipraktiskan.

Jumlah keseluruhan penduduk Malaysia sehingga tahun 2020, adalah lebih kurang seramai 32.75 juta orang. Mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, sehingga 21 Jun 2021, terdapat seramai 5,510,720 (16.8%) orang telah menerima vaksin.

Pecahannya 3,957,687 (12.1%) telah menerima dos pertama, manakala 1,553,033 (4.7%) orang telah
menerima doa kedua, sebagaimana yang telah disyaratkan.

Bagaimana pun berpandukan laman sesawang Jawatan kuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sehingga 21 Jun 2021 terdapat seramai 4,202,601 orang yang telah divaksinasi.

Laman sesawang JKJAV juga memaparkan bahawa sehingga 21 Jun 2021, terdapat seramai 15,510,720 orang telah mendaftar untuk program vaksinasi, iaitu dalam lingkungan 47.1% daripada keseluruhan penduduk Malaysia. Masih terdapat 52.9% yang belum mendaftar, iaitu lebih kurang 17,324,750 orang.

Daripada sejumlah yang mendaftar, iaitu 15,426,982 orang, secara keseluruhan 5,510,720 orang telah menerima vaksin, iaitu lebih kurang 35.7%.

Bagaimana pun berdasar kapasiti penduduk, keseluruhannya hanya 16.9% penduduk Malaysia yang telah menerima vaksin, bermakna terdapat seramai 83.1% penduduk yang masih belum memerima vaksin, iaitu sejumlah 27,215,250 orang.

Berdasarkan perkiraan ini, timbul persoalan akan kemungkinan kebenaran serta kewajaran untuk Malaysia mencapai imuniti kelompok sebagaimana yang disasarkan, iaitu sama ada bulan November atau bulan Disember boleh direalisasikan.

Tambahan pula mengikut Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) monopoli pembelian vaksin oleh Kesatuan Eropah (EU), telah menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan vaksin untuk diperolehi.

Keadaan ini tentunya menjejaskan program vaksinasi yang dirancang oleh pihak berkuasa Malaysia. Bagaimana pun dakwaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ini telah dinafikan oleh Duta EU di Malaysia Michalis Rokas, bahkan mengikut Michalis Rokas sehingga 21 Jun 2021 sebanyak 5 juta dos vaksin telah disumbangkan kepada kerajaan Malaysia.

Sungguh pun begitu, menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, setakat Jun 2021 terdapat sejumlah 8,603,500 dos bekalan vaksin telah diterima, dengan pecahan Pfizer sebanyak 4,078,620 dos, Sinovac 3,687,880 dos dan AstraZeneca 828,000.

Berdasarkan kepada angka pendaftaran untuk vaksinasi 15,426,982, sememangnya adalah tidak mencukupi dengan jumlah keseluruhan dos yang diterima.

Usaha untuk mendapatkan imuniti kelompok, khususnya pada kadar 80%, sebagaimana yang dinyatakan, tentunya menimbulkan sedikit keraguan dan kekeliruan, sekiranya bekalan vaksin dan proses pemvaksinan tidak dapat disediakan dalam jumlah yang ditetapkan dan mencukupi untuk diberikan kepada rakyat.

Berdasarkan kepada situasi ini, tentunya agak sukar untuk mengembalikan situasi normal dalam kehidupan sosial, politik dan ekonomi Malaysia bagi tempoh waktu terdekat, terutamanya untuk baki tahun 2021 dan sepanjang tahun 2022.

Berpandukan keadaan ini, apa yang pasti realiti politik Malaysia akan terus disurami dengan konflik kepentingan secara berterusan. Parlimen tentunya masih kabur untuk berfungsi secara

Sewajarnya, meskipun terdapat jaminan untuk Parlimen dibuka pada Oktober, namun apa pun segala kemungkinan boleh berlaku.

Persoalan yang paling menghambat pemikiran rakyat adalah berkait dengan kemungkinan untuk terus diganggu dan dihantui oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sesuatu yang menyesak dan merimaskan kehidupan sosial, membantut sosio-ekonomi dan menyerlahkan keserabutan politik.

Soalnya bilakah semua ini akan berakhir?

—————————-
Penulis ialah Penyelidik Perunding Human Resource Academy