Malaysia Dateline

Inai asyik kena kritik macam tersepit pintu, Neelofa buat video jawab soalan netizen

Pengacara dan usahawan jelita, Noor Neelofa hari ini tampil menjelaskan isu kualiti inai jenama Nunha yang dikatakan kelihatan ‘lebam’ seperti tersepit pintu.

Ramai juga yang berkongsikan testimoni inai Nunha di mana mereka mendakwa hasil inai di kuku tidak secantik yang mereka sangkakan. Bahkan, ia terlihat agak ‘gothic’ menurut mereka.

Susulan kontroversi yang timbul, Neelofa menerusi satu video yang dikongsikan pengguna TikTok berkata, mereka yang tidak dapat hasil inai yang cantik adalah disebabkan derhaka dengan panduan yang sudah disertakan dalam produk tersebut.

“Ada hamba Allah ini dia buat video, dahlah tak ikut instructions (arahan), dia langgar pantang larang, derhaka segala benda.

“Derhaka measurement, derhaka bancuhan air, derhaka semua. Tapi, tak jadi. Keluar tak keluar warna inai dia. Sebab dia derhaka.

“Lepas tu buat pula video dekat TikTok. Sebab dia, video-video itu membuatkan orang tak percaya atau menutup periuk nasi orang lain. Sebenarnya, ia sangatlah tak baik.

“Kita sebenarnya ini, semuanya sama mencari rezeki. Tapi disebabkan dia, berniat tidak baik untuk war-warkan inai ini tak jadi pun. Padahal dia tak tahu cara pakai yang betul,” katanya lagi.

Pada semalam, Neelofa juga sempat menjawab tentang isu kualiti inai Nunha yang dikatakan tidak mesra solat.

Usahawan itu memberitahu, pihaknya sangat memandang berat berkaitan isu mesra wuduk sepanjang proses pensampelan produk.

Dia juga menegaskan inai keluarannya tidak menggunakan pewarna makanan tiruan seperti yang diletakkan dalam jenama lain di pasaran.

“Ramai yang nak saya jelaskan isu berkaitan tidak sah solat. Semasa proses persampelan, perkara pertama saya pentingkan ialah tiada pewarna makanan. Ramai jenama lain yang perli kami guna pewarna makanan.

“Ini bukan seperti inai lain tetapi telah ditambah pewarna makanan. Kami tidak letak pewarna makanan langsung, saya sangat anti perkara tersebut. Kami gunakan bahan-bahan semula jadi,” katanya dalam InstaStory.