Indahkan gerai penjaja dan peniaga kecil – Tekad PM Anwar merakyatkan ekonomi dipuji orang ramai

Oleh ARIF ATAN

Tekad Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merakyatkan ekonomi dengan mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar meningkatkan kemudahan mencukupi dan selesa kepada penjaja dan peniaga kecil dipuji orang ramai.

Rata-rata menyambut baik pendirian Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak hanya memikirkan pembangunan gedung pencakar langit sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat.

“Bila tempat penjaja kecil itu cantik, bersih dan ramai orang, ia akan jadi satu daya tarikan untuk dikunjungi oleh pengunjung tempatan, pelancong dalam serta luar negara,” komen seorang pengguna Facebook.

Melihat kepada sikap Anwar berhubung tempoh untuk memperindah gerai penjaja dan peniaga kecil di Kuala Lumpur, Fatimah Rashid mengenang kembali didikan ayahnya supaya tidak memberi alasan dalam melakukan sesuatu tugasan.

Beliau memuji ketegasan Perdana Menteri Anwar yang tidak mahu pihak berwajib memberi alasan selepas diberi tempoh selama tiga bulan untuk membentangkan cadangan mengenai perkara tersebut.

“Teringat masa kami kecil dulu, abah selalu marahkan kami jika beralasan bila abah bagi tugasan dan kalau nak jawab tak tahu bila ditanya oleh abah juga menjadi satu ‘kesalahan besar’.

Anwar dan Johari Ghani di kanannya bersama penduduk Kampung Baru ketika menjamu selera di sebuah kedai.

“Oleh itu, kami adik beradik selalu terdidik untuk mencari jawapan dan solusi apabila sudah bekerja.

“Tidak menyangka, ramai rakan sekerja lebih suka memberi jawapan ‘tak tahu’ daripada mencari solusi. Ini amat menyedihkan jika mereka adalah dari kalangan kakitangan kerajaan dan berpangkat besar.

“Suka saya memetik ayat abah, ‘A looser always give excuses, while a winner always give solutions’ untuk kita semua di sini. Semoga bermanfaat,” katanya di ruangan komen tersebut.

Baru-baru ini, Anwar semasa berucap pada Majlis Ilmu Perdana bersama Ahli Akademik dan Warga Institusi Pengajian Tinggi di Seri Perdana di Putrajaya menegaskan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri bukan memikirkan pembinaan bangunan mega yang gah sebagai legasi sebaliknya memberi keutamaan kepada soal kehidupan dan kebajikan rakyat.

Beliau memberitahu dalam pertemuan dengan pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), PBT itu diberi tempoh tiga bulan untuk mengemukakan laporan berhubung cadangan mengindahkan gerai penjaja di sekitar kawasan bandar raya.

Ahli Parlimen Tambun berkenaan juga mahu setiap projek pembangunan menyediakan infrastruktur untuk penjaja dan peniaga kecil berniaga, bukan semata-mata mengutamakan perniagaan besar.

Sebelum ini juga, Menteri Ekonomi dilapor telah memilih program bersama penjaja dan peniaga kecil sebagai acara rasmi pertamanya.

Sementara itu, Nagamuthu S. Ramaiah berpendapat cadangan memperindah gerai itu juga perlu merangkumi isu lokasi memandangkan banyak gerai penjaja berada di kedudukan tidak sesuai.

“Banyak gerai sekarang lokasinya tidak sesuai, di tepi longkang dan di tepi jalan yang sibuk. Soal kebersihan tidak di titikberatkan serta bahaya untuk penjaja serta pelanggan.

“Kalau boleh, beri lokasi yang baik untuk semua penjaja berniaga di satu kawasan yang khas dengan kemudahan parkir, tandas dan tempat sembahyang.

“Bagi peruntukan untuk semua kaum rakyat Malaysia untuk berniaga, dengan kawasan khas perniagaan. Pihak berkuasa dapat membanteras warga asing daripada berniaga dengan penguatkuasaan yang lebih cekap.

“Satu projek yang baik oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang dibina adalah pembinaan Bazaar Wangsa Maju sebelah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju. Harap ada lebih banyak projek seperti ni,” kata Nagamuthu lagi.

Baca juga Selepas ramai rakyat suka Anwar jadi PM, apa lagi yang Mahathir tidak puas hati?