Malaysia Dateline

Indeks jenayah di Johor menurun tahun lepas

Indeks jenayah di negeri ini menurun sebanyak 968 kes tahun  lepas (2018) kepada 10,339 daripada 11,307 kes tahun sebelumnya.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd khalil Kader Mohd berkata jumlah itu membabitkan jenayah kekerasan dan jenayah harta benda yang menunjukkan penurunan sebanyak 8.56 peratus tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

“Daripada 10,339 kes itu, sebanyak 3,881 kes daripadanya merupakan curi motosikal yang turut menyaksikan penurunan tahun lepas berbanding 4,104 kes pada 2017 khususnya meliputi daerah Johor Bahru Utara, Iskandar Puteri dan Muar,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata bagi statistik Ops Dadu pula, sebanyak 3,667 operasi dijalankan sepanjang tahun lepas dengan penahanan seramai 7,503 individu.

Beliau berkata sebanyak 9,147 mesin perjudian turut dirampas dalam tempoh sama manakala nilai keseluruhan rampasan wang tunai pula dianggarkan sebanyak RM1.2 juta.

Katanya, bagi jenayah narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berjaya menahan seramai 15,891 individu sepanjang tahun lepas, atas pelbagai kesalahan dadah.

“Seramai 2,696 individu ditahan atas kesalahan bekalan, 5,365 atas kesalahan memiliki dadah, 7,733 atas kesalahan menggunakan dadah manakala 97 lagi atas kesalahan lain-lain.

“JSJN Johor juga berjaya merampas dadah pelbagai jenis sebanyak 709.44 kilogram dengan nilai keseluruhan berjumlah RM25.66 juta,” katanya.

Beliau menambah, sejumlah RM12.18 juta harta turut disita dari pengedar dadah sepanjang tahun lepas yang meliputi wang tunai sebanyak RM2.9 juta.

Polis Johor, sehubungan itu, akan sentiasa komited dalam mengekang jenayah dan akan berusaha menurunkan kadar jenayah di negeri ini, katanya.

— BERNAMA