Indeks jenayah di Melaka turun 12.95 peratus

Indeks jenayah di Melaka turun 12.95 peratus

Indeks Jenayah Melaka menurun sebanyak 12.9 peratus bagi tempoh suku pertama tahun ini iaitu melibatkan 739  kes, berbanding 848 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata berdasarkan statistik indeks  jenayah sehingga 14 April lepas jenayah kekerasan menurun 23.9 peratus iaitu 153 kes berbanding tempoh yang sama pada 2018 dengan 201 kes.

Beliau berkata, bagi jenayah harta benda sebanyak 586 kes direkodkan berbanding 647 kes pada 2018 iaitu menurun 9.4 peratus dan kes-kes kecurian motosikal mencatatkan penurunan ketara.

“Ini adalah hasil usaha dan strategi  Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi tindakan bersama masyarakat dalam membantu pihak polis melaporkan kegiatan jenayah untuk mengesan dan menangkap penjenayah.

Penglibatan serta komitmen masyarakat dalam memberi maklumat awal mengenai kegiatan jenayah telah membantu pihak polis seterusnya akan menjamin keamanan dan keselamatan di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pencegahan Jenayah dan Derma Darah di Pusat Beli Belah Aeon Bandaraya, di sini, hari ini.

Raja Shahrom berkata, penurunan indeks jenayah itu secara tidak langsung turut dibantu dengan kemudahan aplikasi “Volunteer Smartphone Patrol” (VSP) yang memudahkan orang awam menyalurkan maklumat mengenai sesuatu kejadian untuk pihak polis bertindak dengan segera.

Beliau berkata, di Melaka sehingga hari ini seramai 36,600 orang telah memuat turun aplikasi serta mendaftar sebagai anggota VSP sejak dilancarkan pada 2016 dan pihaknya menjangka jumlahnya terus meningkat.

“Menerusi aplikasi ini ia bukan sahaja membolehkan masyarakat memberi maklumat tetapi kita juga berharap mereka mengemukakan cadangan untuk membantu polis membanteras kegiatan jenayah,” katanya.- BERNAMA