Indeks jenayah di Shah Alam menurun

Indeks jenayah di Shah Alam menurun

Indeks Jenayah di daerah Shah Alam sejak awal Januari sehingga semalam mencatatkan penurunan sebanyak 32.08 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata bagi tempoh berkenaan, sebanyak 144 kes dilaporkan di daerah ini berbanding 212 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Ia menunjukkan penurunan sebanyak 68 kes dan saya percaya penurunan ini adalah usaha anggota saya yang aktif melakukan rondaan cegah jenayah dan berhubungan terus dengan masyarakat awam dalam cara bagaimana untuk mengelakkan diri dan harta benda daripada menjadi sasaran penjenayah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Malah tambah Baharudin, pihaknya juga telah melipatgandakan operasi cegah jenayah sejak bermulanya Op Selamat 14 pada 29 Jan lepas dengan menugaskan kira-kira 40 anggotanya melakukan rondaan di kawasan panas pada setiap malam dari pukul 10 malam sehingga 4 pagi.

“Polis Shah Alam juga melancarkan Op Limau yang memberi tumpuan terhadap kawasan tumpuan awam yang berisiko berlakunya jenayah samun, antaranya di bank, kedai emas, kedai pajak gadai dan pusat beli-belah.

“Alhamdulillah sepanjang Op Limau ini, tiada sebarang kes samun berlaku di kawasan ini, malah orang ramai juga selesa dengan kehadiran anggota kami yang lengkap bersenjata di sekitar pusat beli-belah,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai Op Selamat 14 yang berlangsung dari 29 Jan sehingga semalam, Baharudin berkata sebanyak 8,225 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan ke atas pengguna jalan raya di daerah ini.

“Dalam tempoh berkenaan juga, sebanyak enam kemalangan maut direkodkan melibatkan empat orang pemandu dan penumpang kereta serta dua orang penunggang dan pembonceng motosikal.

“Op Selamat kali ini mencatatkan sedikit penurunan berbanding Op Selamat pada tahun lepas, apabila sebanyak 9,166 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di daerah ini, manakala jumlah kemalangan maut adalah sama sebanyak enam kes,” katanya.