Malaysia Dateline

Indeks kebebasan media Malaysia jatuh ke tangga 119

Malaysia berada di tangga ke-119 dalam kalangan 180 negara tersenarai dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2021, mengikut laporan Reporters Without Borders (RSF).

Rekod itu menyaksikan Malaysia jatuh 18 anak tangga berbanding tahun lalu ketika pada masa sama negara jiran, Indonesia berjaya memperbaiki kedudukan dengan berada di tangga ke-113.

“Ketika Malaysia mengalami peralihan kuasa pertama kali melalui pilihan raya umum pada Mei 2018, persekitaran untuk wartawan menjadi lebih baik dan negara meningkat secara mendadak dalam Indeks Kebebasan Akhbar RSF.

“Tetapi semua ini menjadi terbalik sejak gabungan pemerintah kembali berkuasa setelah 22 bulan pada bulan Mac 2020,” kata laporan itu sambil menyifatkan Malaysia kembali kepada gangguan, intimidasi dan penapisan.

Menurut RSF, langkah-langkah yang diambil oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin termasuk menghidupkan kembali Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) melancarkan propaganda politik dan dianugerahkan RM85 juta ringgit dalam Belanjawan 2021.

“Pemerintah boleh bergantung pada senjata perundangan jahat untuk menekan kebebasan media, senjata yang merangkumi Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Di bawah undang-undang ini, yang layak diperbaiki secara menyeluruh, pihak berkuasa memiliki kawalan ketat terhadap lesen penerbitan dan wartawan dapat dijatuhi hukuman penjara 20 tahun atas tuduhan hasutan,” tambah RSF lagi.