Malaysia Dateline

Indeks kebebasan media Malaysia naik mendadak, terima kasih PH

Malaysia mencatat reputasi lebih baik apabila berjaya meletakkan negara di tangga ke 101 daripada 180 buah negara yang dinilai dalam ranking Indeks Kebebasan Media Dunia 2020.

Menurut Indeks terbaru yang dikeluarkan oleh pertubuhan ‘Reporters Without Borders’ (RSF), Indeks tersebut meningkat secara mendadak dengan lonjakan sebanyak 22 anak tangga berbanding di kedudukan Ke-123 pada tahun 2019.

Menurut RSF, kedudukan Malaysia dicapai selepas kerajaan baharu pada tahun 2019 telah menepati janjinya untuk membatalkan undang-undang akta berita palsu yang digunapakai oleh pemerintah terdahulu.

Sementara itu, Malaysia berjaya menduduki tempat teratas dalam ranking tersebut dalam kalangan negara-negara di rantau Asia Tenggara.

Ia diikuti dengan dengan Indonesia (tempat ke-119), Filipina (ke-136), Thailand (ke-140), Myanmar (ke-139), Kemboja (ke-144), Singapura (ke-158), Brunei kekal dengan tangga (ke-152), Laos (ke-172) dan Vietnam (ke-175).

Norway mendahului tempat pertama untuk empat tahun berturut-turut pada tahun 2020, sementara Finland sekali lagi menjadi naib juara.

Denmark naik 2 kedudukan dan sekarang berada (di tangga ke-3), diikuti Sweden turun 1 anak tangga (di tangga ke-4) dan Belanda (turun 1 di tangga ke-5) jatuh akibat peningkatan gangguan siber.

Korea Utara pula mencatat berada di (Ke-180) yang mengambil kedudukan paling akhir dari Turkmenistan, sementara Eritrea (Ke-178) terus menjadi negara dengan kedudukan terburuk di Afrika.

Indikator global ini dikira berdasarkan skor yang didaftarkan untuk setiap negara. Skor negara ini dikira dari respons soal selidik dalam 20 bahasa yang disiapkan oleh pakar di seluruh dunia, disokong oleh analisis kualitatif.

Maka, semakin tinggi skor, semakin buruk keadaannya.