Malaysia Dateline

Indeks kos sara hidup baharu, tingkatkan mutu hidup rakyat

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini memaklumkan, kerajaan kini sedang merangka Indeks Kos Sara Hidup bagi menentukan kos hidup mininum yang diperlukan masyarakat untuk hidup selesa.

Beliau berkata, indeks baharu itu juga akan membantu kerajaan merangka dasar lebih spesifik, dalam usaha menangani kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat di negara ini.

“Indeks ini bersama dengan Indeks Harga Pengguna yang akan membantu kerajaan membuat dasar sesuai bagi meningkatkan mutu hidup rakyat.

“Kami (kerajaan) juga sentiasa komited dalam menangani tekanan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat di negara ini.

“Untuk rekod, kadar inflasi pada Mac, April dan yang terbaharu bulan lalu, adalah rendah dan stabil pada kadar 0.2 peratus sekali gus membuktikan kejayaan kerajaan dalam mengawal kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Konsultansi Belanjawan 2020, di kementeriannya, hari ini.

Majlis itu merupakan platform interaksi antara kerajaan dan sektor awam, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi pandangan dan maklum balas terhadap cabaran semasa dan langkah menanganinya.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng berkata, pihak berkuasa sentiasa menangani kuasa monopoli agar kebajikan rakyat terpelihara.

Beliau berkata, antara contoh terbaik yang membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menangani masalah kuasa monopoli adalah kejayaan meningkatkan kelajuan jalur lebar.

“Khidmat jalur lebar yang murah, cepat dan dipercayai akan menjadi kunci ke arah era digital ekonomi Malaysia,” katanya.

Antara peserta Majlis Konsultansi Belanjawan 2020 diantara pihak kerajaan, sektor awam,swasta dan NGO di Kementerian Kewangan hari ini.