Indeks Negara Rahmah ukur pencapaian Malaysia

Oleh KIM SYAZIE

Bersesuaian dengan hasrat untuk menjadi rakan strategik bagi membina Malaysia menjadi Negara Rahmah iaitu yang aman, makmur, sejahtera di mana kebebasan, kebenaran dan keadilan ditegakkan, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah melancarkan Pemasyhuran Indeks Negara Rahmah pada Selasa.

“Usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara Rahmah ini tentunya tidak boleh diusahakan sendiri oleh IKRAM,” kata Timbalan Presidennya, Badlishah Sham Baharin ketika sidang media yang diadakan hari ini.

Malah tambahnya, ia adalah usaha bersama kesemua mereka yang berkongsi wawasan ini termasuk pihak kerajaan Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat madani (CSO), golongan profesional, pihak industri dan rakyat keseluruhannya.

Beliau berkata, IKRAM menyedari bahawa proses transformasi negara dari keadaan sekarang sehingga menjadi sebuah Negara Rahmah adalah proses yang panjang dan tidak mudah.

Oleh itu katanya, apa yang penting adalah usaha yang akan menghasilkan kemajuan ke arah yang lebih baik agar ia terus dilakukan setiap tahun dan boleh diukur kemajuannya.

Menurut Badli, pembangunan Indeks Negara Rahmah (INR) yang diperkenalkan IKRAM adalah satu usaha untuk mengukur kemajuan ini serta menilai keberkesanan usaha dan inisiatif yang telah dilaksanakan sepanjang tahun oleh semua pihak ke arah mencapai Malaysia Negara Rahmah.

Inventori Indeks Negara Rahmah

Untuk menilai pencapaian kesemua 12 ciri tersebut, ataupun dalam erti kata lain, mengukur kemajuan pencapaiannya, satu kayu ukur yang dikenali sebagai Inventori Indeks Negara Rahmah telah dibangunkan oleh IKRAM, kata Badli.

Proses pembangunan indeks ini juga telah melibatkan wakil-wakil pertubuhan sivil,masyarakat madani, wakil dari pelbagai agama dan etnik serta akademia dalam pebagai bidang.

“Inventori Indeks Negara Rahmah ini dibuat dalam Bahasa Melayu yang mengandungi 12 Ciri Negara Rahmah, 30 indikator pencapaian dan 110 soalan bersama 10 soalan mengenai profil responden,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Kajian Dasar IKRAM (KADRI), Dr Mustafa Din Subari berkata, Indeks Negara Rahmah ini adalah satu sumbangan yang baharu dalam proses perbendaharaan ilmu.

“Ia memudahkan sesiapa saja untuk membuat rujukan mengenainya terutamanya para pengkaji dan mahasiswa,” katanya.

Pencapaian 2021 Sederhana

Walaupun skor indeks ini bukan satu petunjuk yang mutlak, ia memberikan satu nilai persepsi relatif masyarakat umum terhadap keadaan semasa negara, khususnya apabila persepsi masyarakat terhadap hal-hal berkaitan tadbir urus negara seperti kepimpinan, dan pengurusan berada dalam kelompok terendah. Ia menggambarkan satu kerisauan yang harus diberikan perhatian oleh pihak berwajib.

“Pengukuran indeks ini boleh menjadi kayu ukur kejayaan kita ke arah Malaysia Negara Rahmah dan ia suatu inisiatif penting untuk dilaksanakan,” kata Ahli Penyelidik Kajian Indeks, Rozalli Hashim.

Beliau bersama pasukannya bersedia melaksanakan kajian ini pada setiap tahun dengan konsisten untuk mendapatkan dan melihat pencapaian yang lebih baik.

Kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah 2021 telah dijalankan meliputi seluruh negara dari bulan April hingga Jun 2021 yang melibatkan 3,277 responden yang terdiri daripada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dan dari pelbagai kumpulan etnik.

Kajian ini telah dijalankan menggunakan persampelan berstrata dengan tumpuan negeri, daerah, kaum dan jantina.

Dengan menggunakan skala 10 sebagai pencapaian terbaik, hasil kajian ini mendapati pencapaian kebangsaan bagi Indeks Malaysia Negara Rahmah tahun 2021 adalah pada paras 6.09 atau pencapaian dalam kategori ‘Sederhana’. (0 – 4: Rendah; 5 – 7 : Sederhana dan 8 – 10 : Tinggi).

Ciri-ciri yang mendapat skor tertinggi adalah Institusi Keluarga yang Utuh (7.38), Hubungan Etnik dan Penganut Agama yang Harmoni (6.93), Masyarakat yang Berilmu, Berakhlak Penyayang (6.88), dan Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan Rakyat yang Terpelihara (6.50).

Manakala kesemua ciri berkaitan kepimpinan, pentadbiran dan tadbir urus kerajaan mendapat skor yang rendah iaitu antara 5.33 hingga 5.60.

Ciri-ciri Negara Rahmah

12 ciri yang diketengahkan dalam Indeks Negara Rahmah ialah:

1. Kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti
2. Sistem Pemerintahan yang berasaskan semak dan imbang yang berkesan
3. Tadbir urus yang baik
4. Undang-undang yang adil
5. Masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang
6. Institusi keluarga yang utuh
7. Hubungan etnik dan penganut agama yang harmoni
8. Ekonomi yang mampan
9. Agihan kekayaan yang saksama
10. Pembangunan yang lestari
11. Kebajikan, kesihatan dan keselamatan rakyat terpelihara
12. Menerajui usaha keamanan dan kesejahteraan sejagat

Dapatan kajian dikongsi bersama

Majlis Pemasyhuran Indeks Negara Rahmah secara dalam talian itu juga diserikan Webinar ‘Malaysia Menuju Negara Rahmah’ yang dikendalikan oleh moderator Profesor Dr Amir Husin dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Ahli-ahli panel webinar ialah Ketua Pasukan Petugas Kepimpinan Berwibawa Profesor Dr Hanim Salleh, Ketua Pasukan Petugas Perpaduan Nasional, Zaid Kamaruddin, Ketua Pasukan Petugas Masyarakat Progresif, Profesor Madya Ainullotfi Abdul Latif, Ketua Pasukan Petugas Kemakmuran Ekonomi, Burhanuddin Lukman dan Ketua
Pasukan Petugas Institusi Kenegaraan, Shahrul Aman Mohd Saari.

Sehubungan itu, terdapat tiga poin penting melalui Webinar Malaysia Menuju Negara Rahmah yang diadakan iaitu model Negara Rahmah adalah tawaran IKRAM kepada rakyat Malaysia keseluruhannya bagi pembinaan negara yang memberi keamanan dan kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya serta yang lebih penting, ia juga memberikan keselamatan dan kebahagiaan di akhirat.

Skor keseluruhan Indeks Malaysia Negara Rahmah 2021 mencatatkan 6.09 perlu dipertingkatkan lagi berdasarkan perancangan usaha-usaha dan pelan tindakan yang harus dilaksanakan oleh segenap lapisan masyarakat.

Seterusnya, dapatan kajian ini juga harus dikongsi bersama dengan agensi kerajaan dan juga pihak-pihak berkepentingan bagi menjadikan agenda Negara Rahmah melebar dan didukung oleh setiap lapisan masyarakat.

Moga dengan dapatan kajian indeks ini, ia memberi ruang kepada pihak kerajaan mahupun pengkaji juga mahasiswa dan seluruh masyarakat merealisasikan wawasan murni yang menjadi impian semua rakyat Malaysia ini.

Tidak kira apa bangsa keturunan mahupun anutan rakyat Malaysia, mereka mahukan negara yang tercinta ini menjadi sebuah negara yang lebih baik, sebuah negara mithali kepada masyarakat antarabangsa, insya-Allah.


Penulis merupakan Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia