Malaysia Dateline

Indeks pertahanan dapat gred ‘D’: Bekas menteri gesa kerajaan utamakan semula Kertas Putih

Baru-baru ini, dilaporkan Malaysia sekadar meraih 45 mata atau gred D dalam Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan (GDI) bagi tahun 2020, hasil penyelidikan Transparency International (TI) Pertahanan dan Keselamatan yang berpusat di United Kingdom.

Hasil penyelidikan tersebut telah menarik perhatian bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong yang  mengemukakan beberapa gesaan penting kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk dilaksanakan segera.

Beliau berkata, Kertas Putih Pertahanan yang telah diluluskan secara dwipartisan di Parlimen pada 2 Disember 2019 patut diberi perhatian utama oleh Hishammuddin di mana pelaksanaan penuh cadangan kertas putih itu menjadi asas kepada keutamaan pertahanan negara.

“Ini dapat menghalang keputusan peribadi mana-mana ahli politik, pegawai kerajaan, malah pemimpin tentera, dalam memutuskan sebarang pemerolehan atau pembelian,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya malam tadi.

Liew juga meminta agar Hishammuddin mendedahkan semua laporan jawatankuasa siasatan khas isu-isu tadbir urus, perolehan dan kewangan negara yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang sejak penubuhan jawatankuasa itu pada 2018.

Ini kerana katanya, sehingga sekarang tiada laporan didedahkan, dan tiada siapa yang dipertanggungjawabkan atau dikenakan tindakan.

Beliau mengingatkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini telah pun mendedahkan laporan siasatan terhadap 16 projek “land swap” atau pengswastaan memajukan tanah yang melibatkan Kementerian Pertahanan.

Selain itu, Liew mengemukakan tentang isu Projek kapal tempur pesisir atau “littoral combat ship (LCS)” yang dimulakan sewaktu Hishammuddin menjadi Menteri Pertahanan buat kali pertama yang sepatutnya siap dibina pada pada April 2019.

“Tetapi menurut laporan terbaharu, enam kapal pertama hanya akan siap pada tahun 2025. Sebanyak RM6 bilion telah dibelanjakan dan sekurang-kurangnya RM1 bilion telah “hilang”.

“Pada Februari 2020, Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengarahkan tindakan diambil terhadap mereka yang bersalah tetapi sehingga kini tiada apa-apa yang berlaku setelah kerajaan baharu merampas kuasa melalui Langkah Sheraton.

“Saya akan memberi kenyataan yang lebih terperinci tidak lama lagi selepas membaca laporan penuh Transparency International,” ulasnya.