Malaysia Dateline

Indeks rasuah merosot, alasan SPRM ia bukan terburuk dikecam netizen

Anggapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa prestasi Malaysia yang merosot dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), bukanlah satu perkara yang buruk dikecam netizen.

Menerusi ciapannya di Twitter semalam, SPRM berkata penurunan skor dalam indeks rasuah yang melibatkan dua mata adalah tidak ketara.

Untuk rekod, Malaysia mencatatkan penurunan skor sebanyak 51 daripada 100 peratus berbanding skor sebanyak 53 pada tahun 2019.

Skor di baca dari 0 (rasuah terburuk) sehingga ke 100 (negara paling bersih).

“Indeks Rasuah: Prestasi Malaysia bukanlah yang terburuk

“Penurunan dua mata dari 53 ke 51, tidak ketara kerana margin kesalahan berada pada 1.6 mata,” tulisnya.

Penurunan dua mata skor ini juga menyebabkan kedudukan negara sekarang jatuh merosot di tangga ke 57 berbanding 51 pada tahun lalu.

2018: Skor (47), kedudukan (61)
2019: Skor (53), kedudukan (51)
2020: Skor (51), kedudukan (57).

Ciapan berkenaan bagaimanapun mengundang kecaman orang ramai yang menganggap kenyataan SPRM akan ditertawakan satu dunia kerana mereka adalah badan yang seharusnya mencegah jenayah rasuah.

Menerusi ruang komen Tweet rasmi SPRM, rata-rata mengkritik justifikasi yang diberikan badan awam itu yang menurut mereka negara sepatutnya fokus pada kosong rasuah.

“Indikator indeks anda tidak boleh digunakan @SPRMMalaysia kerana banyak korupsi dan kapitalis di luar sana bersembunyi di belakang mereka yang berkuasa.

“Terlalu banyak rasuah sekiranya tidak diambil tindakan untuk membawa mereka ke muka pengadilan. SPRM harus menjadi badan tertinggi untuk membanteras (rasuah),” tulis @Faiz_Azial

Pengguna lain juga mengingatkan SPRM bahawa jatuh tetap jatuh, dan mereka gagal untuk membaikinya.

“Itu bukan yang paling teruk tetapi bukanlah yang terbaik. Ianya di bawah purata memuaskan. Usaha lagi. Jatuh tetap jatuh. Ini bermaksud anda gagal. Gagal menghalang. Gagal membaiki. Gagal menjalankan tugas anda,” tulis @friendly_shawn.