Malaysia Dateline

Indeks rasuah merosot: Malaysia seolah kembali ke zaman kleptokrasi

Susulan kedudukan Malaysia yang jatuh merosot dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tangga ke 62, Malaysia seolah-olah sedang menunjukkan satu trend yang akan membawa negara kembali semula ke zaman kleptokrasi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, pentadbiran kerajaan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Datuk Seri Ismail Sabri yang berpegang kepada konsep ‘scheme of things’ untuk mendapat sokongan Ahli Parlimen telah menyumbang kepada kemerosotan indeks tersebut.

Untuk rekod, Malaysia pernah merekodkan prestasi rasuah terburuk di tangga yang sama pada tahun 2017 ketika pentadbiran Barisan Nasional.

Sementara itu Faiz berkata, beberapa bekas pemimpin negara di zaman BN yang dilepaskan daripada pertuduhan kes rasuah juga merupakan faktor penyumbang kepada kejatuhan indeks rasuah.

“Ia turut melibatkan beberapa faktor lain termasuk projek-projek besar yang meragukan seperti 5G di bawah DNB dan laporan ketirisan wang perbelanjaan jabatan kerajaan sebanyak RM620.07 juta oleh Ketua Audit Negara.

“Kedudukan indeks rasuah ini jelas menunjukkan slogan kerajaan Melayu Islam hanya candu politik sedangkan prinsip Islam yang mencegah rasuah tidak ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

edudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2021 jatuh ke kedudukan 62 berbanding tangga ke-57 pada 2020.

Terdahulu, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Muhammad Mohan berkata, daripada 180 negara, Malaysia mencatatkan markah 48 daripada 100.

Kedudukan indeks rasuah ketika pentadbiran Pakatan harapan bagi tahun 2019, berjaya dipulihkan dengan peningkatan ke tangga 51 berbanding tangga 61 pada tahun 2018.

Bagaimanapun indeks CPI tersebut terus jatuh ke kedudukan 57 pada tahun 2020 ketika pentadbiran Perikatan Nasional).

Mengulas lanjut, Faiz berkata, kedudukan indeks rasuah ini pasti menjejaskan prestasi ekonomi negara yang masih gagal dipulihkan kerana ia menghakis keyakinan pelabur asing.

Kelembapan pelaburan asing akan menjejaskan ekonomi rakyat terutama dari sudut pekerjaan dan peluang perniagaan sektor PKS, katanya.

“Selagi pemerintah tidak ada kesungguhan politik (political will) untuk melawan rasuah, selagi itulah ekonomi negara tidak akan pulih. Dan selama itulah, rakyat akan terus sengsara dengan pelbagai tekanan seperti kenaikan harga barang dan defisit kuasa beli,” tambahnya lagi.