Malaysia Dateline

Indeks rasuah terus corot: Lantik KP SPRM baru sebelum China, Indonesia atasi Malaysia

Malaysia memerlukan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu apabila Malaysia terus dikategorikan antara negara yang tinggi dengan rasuah susulan kemerosotan prestasi dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021.

Kedudukan Malaysia jatuh ke tangga 62 pada tahun 2021 di mana ia merupakan rekod terburuk selepas Malaysia pernah mencatatkan pemulihan indeks rasuah lebih baik pada 2019 iaitu di tangga ke 51.

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Malaysia perlu melakukan perubahan sebelum China yang kini berada di tangga ke 66 dan Indonesia di tangga ke 98, mengatasi Malaysia dalam indeks rasuah menjelang tahun 2030.

“Kini kita kembali terjerumus ke dalam kancah rasuah seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 dan perkara buruk bakal berlaku akibat daripada skandal Azam dan kemerosotan sistem integriti dalam kehidupan awam

“Senario menyedihkan Indonesia mengatasi Malaysia mungkin berlaku sebelum 2030 jika Malaysia terus mundur dalam pencegahan rasuah. Manakala Indonesia terus membuat kemajuan dalam bidang ini.

“Jika Malaysia tidak bangkit dalam barisan anti-rasuah, tidak dapat dibayangkan bahawa Indonesia mungkin akan mengatasi Malaysia dalam TI CPI sebelum 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru katanya, Malaysia memerlukan seorang Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu yang mempunyai satu KPI penting untuk memastikan China dan Indonesia tidak mengatasi kedudukan negara dalam TI CPI sama ada sebelum 2025 atau 2030.

Terdahulu, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, Malaysia mencatatkan skor sebanyak 48 sahaja di mana ia menunjukkan tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara dengan mengikut skala 0 (paling korup) hingga 100 (paling bersih).

Pada 2019 Malaysia berjaya memperbaiki reputasinya apabila melonjak 10 anak tangga dalam indeks rasuah di tangga ke 51, berbanding di tangga 61 pada 2018.

Pada 2020 pula, Malaysia jatuh ke tangga 57 dan terus merosot di kedudukan ke 62 pada 2021.