NGO kaitkan pembalakan haram dengan Ketua Menteri Sabah

Jufazli mendakwa wujud kilang khas untuk pembalakan haram di kawasan hutan simpan di Tawau

"Kami turun padang dan lihat depan mata kami sendiri. Untuk pengetahuan Musa Aman, ini adalah kawasan hutan simpan di Tawau Sabah yang dibuka secara haram tanpa permit dan lesen sehingga hari ini," kata Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah Jufazli Shi Ahmad.

 

Jufazli mendakwa wujud kilang khas untuk pembalakan haram di kawasan hutan simpan di Tawau

Meraih lebih 1,700 tanda 'suka' dengan hampir 600 perkongsian status dalam tempoh 24 jam dimuat naik di Facebook, pendedahan Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah berhubung kepincangan urus tadbir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menarik perhatian ramai netizen.

Pengasas gerakan berkenaan, Jufazli Shi Ahmad dalam siri pendedahan pembalakan haram yang dikaitkan dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah itu turut melampirkan enam foto sebagai bukti pada kenyataannya di media sosial itu, 7 Januari lalu.

Beliau mempersoalkan jumlah wang yang diperoleh hasil daripada apa yang didakwanya sebagai aktiviti pembalakan tidak sah di kawasan hutan simpan di Tawau.

"Datuk Seri Panglima Musa Aman, ini gambar bukti kawasan balak haram yang kami dapat daripada Unit Perisikan Maklumat dan Intelligent Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah.

"Kami turun padang dan lihat depan mata kami sendiri. Untuk pengetahuan Musa Aman, ini adalah kawasan hutan simpan di Tawau Sabah yang dibuka secara haram tanpa permit dan lesen sehingga hari ini.

"Persoalan kami sebagai rakyat. Berapa puluh juta Musa Aman dapat hasil pembukaan kawasan balak haram ini sehingga siap ada kilang papan khas di tengah kawasan hutan simpan di Tawau?" soalnya seperti dipetik.

Sehubungan itu, Jufazli yang juga lulusan Sarjana Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendesak supaya Musa menghentikan penyelewengan kuasa dan korupsi daripada terus menindas rakyat di Sabah.

"Cukuplah wahai Ketua Menteri kami. Berhentilah salah guna kuasa dan amalan rasuah untuk memenuhi nafsu kekayaan kita di dunia sehingga rakyat kau hancurkan kehidupan mereka," tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau turut menganggap bencana banjir yang melanda Sabah pada masa ini terutama di Tawau disebabkan pemusnahan alam melalui penerokaan haram kawasan hutan simpan.

"Orang Tawau mahu tahu mengapa tahun ini sudah ada berlaku banjir? Ia bukan sebab faktor semulajadi. Ia adalah sebab pembalakan haram hutan simpan yang berleluasa di Sabah.

"Polisi menghancurkan alam sekitar ini boleh menghancurkan kehidupan rakyat Sabah. Tumbang rejim korup Sabah di bawah Musa Aman dan Barisan Nasional (BN)!" ujarnya lagi.

Sementara itu, dalam status Facebook Jufazli pada 5 Januari lalu, beliau secara terbuka memberitahu gambar dan dokumen berkaitan diperolehnya daripada "orang BN" sendiri.

"Habislah Musa Aman dan BN di Sabah ni. Orang-orang mereka sendiri bagi maklumat mengenai aktiviti pembalakan haram hutan simpan di Sabah dengan saya. Siap gambar dan dokumen lagi. PRU ke-14, orang BN sendiri akan hancurkan kuasa Musa Aman di Sabah sebenarnya.

"Orang Sabah sudah cukup bosan dengan pembodohan yang dibuat oleh Musa Aman sehingga Sabah habis dirompak ekonominya. Bye bye Musa Aman and family," ujarnya lagi.

Walau disumbat lokap selama lapan hari pada November tahun lalu Jufazli tidak pernah kenal erti serik mendedahkan kepincangan rejim Umno BN di Sabah

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.

Cetak Emel