Malaysia Dateline

India: Ancaman pengganas pesawat penumpang berpatah balik

Sebuah pesawat yang dalam perjalanan dari Kolkata menuju ke Mumbai terpaksa berpatah balik dipercayai akibat ancaman pengganas, lapor media tempatan Isnin.

Menurut laporan India Today, pesawat 9W 472 milik sebuah syarikat penerbangan swasta itu berpatah balik selepas seorang penumpang melihat pesanan ditulis seorang penumpang lain pada telefon bimbitnya mengenai terdapat pengganas di dalam pesawat.

Penumpang itu kemudian segera memaklumkan kepada anak kapal, lapor agensi berita Xinhua.

Sementara penumpang yang didakwa menaip pesanan itu ditahan di lapangan terbang Kolkata, sebelum diserahkan kepada polis tempatan untuk disoal siasat.

Disebabkan kejadian itu, penerbangan 9W 472 ditangguhkan hampir sejam.

— BERNAMA