Malaysia Dateline

India kekal sumber penting FDI untuk Malaysia – MIDA

India merupakan antara sumber penting pelaburan langsung asing (FDI), terutama dalam sektor pembuatan, dan dijangkakan kekal antara 20 pelabur utama dalam negara.

Sehingga September 2018, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata 135 projek pengilangan bernilai RM5.5 bilion, dengan penyertaan dari India, dilaksanakan dan mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan.

“Sebahagian besar pelaburan ini membabitkan tekstil dan produk tekstil, kimia dan produk kimia, kertas dan percetakan, produk mineral bukan logam, produk elektronik dan elektrik serta produk logam asas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MIDA berkata syarikat utama India yang menjadikan Malaysia sebagai pusat pengilangan mereka, termasuk Reliance Group (tekstil dan produk tekstil), RP Chemical (kimia dan produk kimia), Ranbaxy (farmaseutikal) dan Tamco Switchgear (elektrik dan produk elektronik).

“Beberapa firma India, juga meneroka sektor perkhidmatan negara termasuk ICICI Bank Ltd dalam kewangan, Wipro, Infosys dan Tata Consultancy (perkhidmatan IT), Sky Blue Media (pengiklanan media) dan Manipal International (sektor pendidikan dan penjagaan kesihatan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Azman Mahmud berkata pihak berkuasa pelaburan itu telah meningkatkan promosi pelaburan termasuk mengenal pasti projek khusus yang mencari pelabur asing, selain memanfaatkan usaha sama strategik dengan persatuan-persatuan peniagaan.

“Walaupun pada masa ini pelaburan India besar di Malaysia, MIDA yakin masih banyak ruang untuk pelabur India meningkatkan kehadiran mereka dalam ekonomi Malaysia,” katanya.

Azman berkata antara usaha yang dilakukan untuk mencapai matlamat ini, MIDA memperbaharui kerjasama dengan Gabungan Industri India (CII) menerusi penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan dan mempromosi peluang perniagaan Malaysia-India.

“Ini akan mengukuhkan penglibatan MIDA dalam menyediakan pertukaran yang bermanfaat kepada komuniti perniagaan, terutama  9,000 ahli  CII yang termasuk perusahaan kecil dan sederhana dan syarikat multinasional dalam pelbagai sektor,” katanya.

MoU itu ditandatangani hari ini oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman dan Pengerusi Majlis Antarabangsa CII Dr. Noushad Forbes sempena Forum CEO Malaysia-India ke-8.

MIDA menandatangani MoU dengan CII pada 2000 dan sejak itu, kedua-dua pihak telah melaksanakan banyak kerjasama dan program.

Antara ??????? program itu ialah Sidang Kemuncak Perkongsian CII pada  2014 dan Forum Perniagaan India-Malaysia pada 2017, serta pelbagai rangkaian dan sesi padanan perniagaan dengan syarikatt India yang dianjurkan oleh kedua-dua organisasi.

“Saya yakin kerjasama ini akan terus memacu pelaburan berkualiti ke Malaysia pada tahun-tahun akan datang.

“Dengan bekerja rapat untuk mencapai hasil yang terkandung dalam MoU, MIDA dan CII secara tidak langsung menyumbang kepada pengukuhan hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang telah berkembang sejak 62 tahun yang lalu,” kata Azman.

— BERNAMA