India lancar kapal angkasa ‘Chandrayaan-2’

India lancar kapal angkasa ‘Chandrayaan-2’

India pada Isnin melancarkan kapal angkasanya yang kedua, sekaligus meningkatkan keupayaan negara itu sebagai antara kuasa utama dalam arena sains roket.

Kapal angkasa Chandrayaan-2 tanpa angkasawan yang dijangka mendarat di bulan pada hari ke-48 misinya, berlepas dari atas Kenderaan Pelancar Satelit Geosegerak (GSLV) Mark 3.

Organisasi Penyelidikan Angkasa India (ISRO) berkata kapal angkasa itu berjaya masuk ke ruang orbit bumi beberapa minit selepas dilancarkan pada jam 2.43 petang (waktu tempatan) dari Pusat Angkasa Satish Dhawan di Sriharikota di Andhra Pradesh.

Ia seberat 3.85 tan dan mengandungi pesawat angkasa lepas, pesawat untuk mendarat di bulan ‘Vikram’ dan jentera ‘Pragyan’ bagi misi jelajah bulan.

Misi membabitkan kos US$150 juta itu sebelum ini dijadual pada 15 Julai tetapi dibatalkan disebabkan masalah teknikal sejam sebelum dilancarkan.

“Ini adalah permulaan sejarah perjalanan India ke bulan,” kata pengerusi agensi angkasa K. Sivan.

Kejayaan Chandrayaan-2 (bermaksud kenderaan bulan di Hindi) mendarat menjadikan India negara keempat melakar kejayaan seperti Amerika Syarikat, Rusia dan China.

Bagaimanapun, India menjadi negara pertama mendarat di kutub selatan yang belum diterokai.

Kapal angkasa tanpa angkasawan pertama India dikenali Chandrayaan-1, dilancarkan pada Oktober 2008.

“Chandrayaan-2 adalah langkah dan teknologi seterusnya,” kata ketua ISRO itu.

“Jutaan rakyat India amat berbangga menyaksikan siaran langsung pelancaran kapal angkasa itu menyaksikan ribuan berkumpul di kawasan berhampiran pusat pelancaran”.– BERNAMA