Malaysia Dateline

India minta isu hantar pulang Zakir dibincangkan di peringkat pegawai

: India memutuskan isu penghantaran pulang pendakwah bebas yang kontroversi, Dr Zakir Naik dibincangkan pada peringkat pegawai kedua-dua kerajaan.

Perkara itu diberitahu Perdana Menteri India, Narendra Modi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perbincangan dua hala yang diadakan di luar Forum Ekonomi Timur (EEF) 2019  pada Khamis..

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata Modi hanya sentuh isu Zakir Naik sepintas lalu dan mahu perbincangan lanjut peringkat pegawai.

“Pertemuan dua hala kedua-dua pemimpin itu diadakan di atas permintaan Modi, namun kebanyakan perbincangan berkisar kepada isu dua hala, isu Jhammu dan Kashmir, selain pembelian minyak sawit Malaysia oleh India,” katanya pada sidang media di sini, lewat malam tadi sepeerti  dipetik  bharianonline.

Saifuddin bagaimanapun mengesahkan Wisma Putra tidak terbabit dalam perbincangan itu, kecuali menerima nota diplomatik daripada kerajaan India mengenai permohonan ekstradisi Zakir Naik.

Katanya, dalam pertemuan itu, Modi banyak menyentuh isu Jhammu dan Kashmir dan kedudukan terkini.

Beliau berkata, Dr Mahathir menjelaskan pendirian Malaysia adalah isu itu diselesaikan mengikut resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditetapkan sebelum ini.

Saifuddin berkata, Perdana Menteri juga menegaskan bahawa Malaysia berpandangan Jhammu dan Kashmir adalah isu dalaman India-Pakistan dan mahu ia diselesaikan menerusi proses rundingan.

“Perdana Menteri juga mencadangkan jika perlu kedua-dua pihak menggunakan pihak ketiga sebagai orang tengah atau dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa seperti dibuat Malaysia dalam isu Pulau Batu Puteh dan Pulau Ligitan dan Sipadan untuk menyelesaikan pertikaian dengan Singapura dan Indonesia,” katanya.