India sasar capai ekonomi US$10 trilion

India sasar capai ekonomi US$10 trilion
 India menyasarkan untuk muncul negara dengan ekonomi US$10 trilion (US$1 = RM4.09) dalam tempoh lapan tahun akan datang dan meningkatkan saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak empat kali ganda.

“Negara ini berhasrat menjadi ekonomi US$5 trilion dalam masa lima tahun lagi dan seterusnya US$10 trilion pada tempoh lapan tahun akan datang,” kata Menteri Kewangan sementara, Piyush Goyal sewaktu membentangkan Belanjawan Negara 2019-2020  semalam.

Sehubungan itu, Goyal berkata kerajaan akan meningkatkan sektor pembuatan, mempromosi perindustrian luar bandar, membantu syarikat permulaan dan menyokong teknologi baru dalam usaha menjana pekerjaan bagi mencapai matlamat ekonomi US$10 trilion tersebut.

“Kami akan mewujudkan India dengan masalah kemiskinan, kekurangan makanan, pembuangan sampah dan buta huruf merupakan isu lapuk. India akan menjadi sebuah negara moden, berteraskan teknologi, pertumbuhan tinggi dan masyarakat yang telus,” katanya.

New Delhi juga telah mengemukakan beberapa cadangan belanjawan bagi menarik pengundi kelas pertengahan dan petani, sejajar dengan pemilihan Parlimennya yang dijadualkan sebelum Mei depan.

Ini termasuk menaikkan had pengecualian cukai pendapatan individu kepada 500,000 rupee (10 rupees=RM0.57) berbanding 250,000 rupee pada masa ini.

Selain itu, India akan turut membelanjakan lebih US$42 bilion bagi tujuan pertahanan pada tahun kewangan akan datang (April-Mac) berbanding US$39.5 bilion pada tahun semasa.

“Belanjawan pertahanan kami akan melepasi 300,000 kror rupee (US$42 bilion) untuk kali pertamanya pada 2019-20. Malah, ia akan ditambah bagi memastikan kawalan sempadan dipertingkat bagi berdepan sebarang kemungkinan,” katanya.

Sejumlah  US$10.5 bilion turut diperuntukkan setiap tahun bagi membantu kalangan petani yang mengharapkan bantuan kewangan kerajaan.

Ia akan turut meningkatkan jumlah perbelanjaan daripada US$344.7 bilion dalam Belanjawan 2018-19 kepada US$390.5 bilion pada 2019-20 dan defisit fiskal bagi tempoh 2019-20 dianggarkan 3.4 peratus daripada KDNK.– BERNAMA