India sertai negara lain rehatkan pesawat jenis Boeing 737 MAX

India sertai negara lain rehatkan pesawat jenis Boeing 737 MAX

India mengambil keputusan mengikuti jejak negara lain untuk merehatkan pesawat jenis Boeing 737 MAX susulan kebimbangan berkaitan keselamatan yang dicetuskan nahas model sama milik Ethiopian Airlines terhempas pada Ahad, yang mengorbankan kesemua 157 penumpang dan anak kapal.

Direktorat Umum Penerbangan Awam (DGCA) telah membuat keputusan untuk merehatkan kesemua pesawat model itu serta-merta, menurut Kementerian Penerbangan Awam pada Selasa.

Syarikat penerbangan tambang murah India, Spicejet, memiliki 12 pesawat jenis Boeing 737-MAX manakala Jet Airways mempunyai lima pesawat model itu.

“Kesemua pesawat akan direhatkan sehingga pengubahsuaian sesuai dilakukan dan langkah keselamatan sewajarnya diambil bagi memastikan ia beroperasi dalam keadaan selamat,” menurut kementerian itu.

“Kami terus berunding rapat dengan pengawal selia penerbangan di seluruh dunia, syarikat penerbangan dan pengeluar pesawat bagi memastikan keselamatan penumpang,” katanya.

Banyak negara termasuk China, Indonesia, Malaysia, Turki, Australia, Singapura, Oman dan Britain telah melarang kehadiran pesawat jenis Boeing 737 MAX di ruang angkasa mereka atas kebimbangan keselamatan.

Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) berkata ia telah menangguhkan semua operasi penerbangan pesawat jenis Boeing 737-8 MAX dan 737-9 MAX di Eropah.

Penerbangan ET 302 milik Ethiopian Airlines yang terhempas pada Ahad merupakan nahas kedua dalam tempoh enam bulan membabitkan pesawat jenis Boeing 737 MAX.

Kebimbangan terhadap sistem kawalan penerbangan Boeing 737 MAX timbul selepas pesawat model sama milik Lion Air terhempas pada Oktober.

Boeing pada Selasa berkata ia “mempunyai keyakinan penuh” terhadap ciri-ciri keselamatan pesawat terlarisnya itu.

“Kami memahami agensi pengawal selia dan pelanggan membuat keputusan yang mereka percaya paling wajar untuk pasaran di negara mereka. Kami akan terus melibatkan mereka bagi memastikan mereka mempunyai maklumat yang diperlukan untuk memiliki keyakinan dalam mengendali pesawat mereka,” menurut agensi itu dalam satu kenyataan.

“Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat tidak diberi mandat untuk mengambil tindakan lanjut pada masa ini, dan berdasarkan maklumat semasa, kami tidak mempunyai sebarang asas untuk mengeluarkan panduan baharu kepada pengendali,” kata pengeluar pesawat AS itu.

Bagaimanapun, Persatuan Atendan Penerbangan Profesional, yang mewakili golongan itu di American Airlines, membangkitkan isu kebimbangan terhadap keselamatan pesawat tersebut dan menggesa agar “kesemua pesawat jenis ini direhatkan sehingga siasatan menyeluruh dilakukan.”

— BERNAMA