Indikator K: Kerajaan akan panggil duta AS beri penjelasan

Indikator K: Kerajaan akan panggil duta AS beri penjelasan

Kementerian Luar akan memanggil duta Amerika Syarikat (AS) di Malaysia dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan mengenai keputusan kerajaan negara itu meletakkan Malaysia dalam Indikator “K” berhubung nasihat perjalanan dikeluarkannya pada 9 April.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana keputusan Washington itu dikhuatiri memberi pelbagai implikasi negatif, terutama kepada sektor pelancongan dan komuniti perniagaan di negara ini.

“Kita sudah nyatakan pendirian tegas sebelum ini bahawa kita sama sekali tidak bersetuju tindakan Washington yang mengklasifikasikan Malaysia dalam senarai ‘K’, yang bermakna rakyat negara itu berisiko diculik atau dijadikan tebusan.

“Kita akan memanggil duta AS dalam masa 1-2 hari ini bagi mendapatkan penjelasan dan berharap Washington dapat mengubah keputusan itu,” katanya selepas rakaman program Ruang Bicara bersama Bernama News Channel pada Isnin.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam berkata, indikator yang dikeluarkan Jabatan Negara AS menunjukkan kebimbangan kerajaan negara itu terhadap potensi penculikan atau situasi tebusan di kawasan tertentu di wilayah timur Sabah.

Indikator itu dikhuatiri akan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelancong dan pelabur yang mementingkan kestabilan dan keselamatan di sesebuah negara.

Mengulas lanjut mengenai potensi penculikan dan situasi di kawasan wilayah timur Sabah yang menjadi alasan Malaysia diletakkan dalam Indikator “K”, Saifuddin berkata, kerajaan telah menjelaskan sebelum ini bahawa kejadian itu sangat terpencil dan ia semakin berkurangan.

“Masalahnya AS selalu buat keputusan berasaskan kriteria yang sama ada berat sebelah atau tidak melihat gambaran lebih besar…sama macam dia lihat terrorisme.

“Siapa dia anggap tidak sesuai dengan politiknya, dia anggap pengganas…apa lagi dalam keadaan sekarang apabila Donald Trump jadi presiden…banyak kita lihat penilaian dibuat terhadap negara asing dan pertubuhan antarabangsa memang di luar jangkaan. Saya rasa ini juga faktor keluarnya nasihat perjalanan dimaksudkan itu,” katanya.