Individu ceroboh taman permainan, selamba bina kebun haram untuk raih untung

Oleh WAN SITI AMINAH

Sebuah taman permainan di Alor Setar, Kedah telah dijadikan tapak perkebunan haram oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Bukan itu sahaja, pelbagai jenis tumbuhan yang membesar di atas tanah awam tersebut dipercayai ditanam individu berkenaan untuk meraih keuntungan peribadi.

Situasi ini memaksa pihak berkuasa membuang tanaman dan meruntuhkan binaan di kebun haram yang terletak di Taman Bersatu Fasa 4, Jalan Batas Paip, Kuala Kedah.

Notis Pemberitahuan difahamkan telah dikeluarkan pada 26 November lalu sebelum operasi pembersihan dijalankan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) pada Selasa (19 Disember).

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi milik MBAS, perbuatan dilakukan individu tersebut adalah salah mengikut peruntukan Seksyen dan Perenggan berikut;

1) Seksyen 18 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172)

2) Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133)

3) Perenggan 3 (d) Undang-Undang Kecil (Taman) Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah 1983


“Siasatan dijalankan mendapati tapak kawasan lapang tersebut telah dicerobohi dan dijadikan tapak perkebunan oleh individu untuk kegunaan sendiri dan juga jualan hasil. 

“Tapak tersebut adalah kawasan lapang yang di simpan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara untuk tujuan rekreasi. Perizaban tanah Kerajaan adalah amat penting bagi menjaga kepentingan awam.

“Perizaban tanah Kerajaan juga merupakan kaedah untuk melindungi kepentingan awam daripada diberi milik kepada orang perseorangan atau mana-mana perbadanan atau badan yang dinyatakan di bawah seksyen 43 Akta 828,” katanya.

Menurut MBAS, operasi di taman permainan itu dijalankan dengan kerjasama Unit Pembangunan Landskap, Bahagian Landskap & Rekreasi, dan Jabatan Perancangan Pembangunan.

Beberapa jabatan dalam MBAS yang turut terlibat dalam operasi ini adalah Jabatan Kesihatan Persekitaran, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Perancangan Korporat dan Strategik Majlis Bandaraya Alor Setar dan Environment Idaman Sdn. Bhd. Alor Setar.

Baca juga: Panik lihat pintu ais tercabut lepas buka, jawapan mak mentua buat wanita terkejut