Malaysia Dateline

Individu lengkap vaksin di Selangor boleh guna sijil SELangkah buat sementara

Susulan gesaan Selangor agar penerima suntikan Covid-19 di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) dibenarkan menggunakan sijil vaksinasi SELangkah buat sementara waktu, kerajaan Persekutuan memutuskan untuk membenarkan perkara itu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sijil digital itu boleh digunakan sebagai dokumen pengesahan sementara jika belum menerima sijil di aplikasi MySejahtera.

“Kerajaan memberi kebenaran individu lengkap vaksinasi di bawah Selvax menggunakan sijil SELangkah sebelum menerima sijil pengesahan daripada MySejahtera,” katanya dalam sidang medianya semalam.

Pada semalam, Exco Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud menggesa agar MIMOS menyelesaikan segera isu teknikal integrasi data MySejahtera dan SELangkah supaya penerima SelVax boleh menerima sijil vaksinasi MySejahtera mereka untuk keperluan dan urusan harian.

Beliau juga sebelum ini memaklumkan, SELangkah telah menghantar 159,919 rekod peserta Selvax kepada MySejahtera namun 3,632 individu masih belum menerima sijil digital.